KUALA LUMPUR: Tiga beregu negara termasuk beregu harapan Hoon Thien How/Tan Boon Heong berjaya menempah tempat ke saingan suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Australia di Sydney Sports Centre,Australia. Pada perlawanan pusingan kedua pada Khamis, Hoon/Tan menundukkan rakan senegara Lim Khim Wah/Ow Yao Han 21-18 dan 21-14 dalam masa 42 minit untuk bertemu beregu China, Cai Yun/Lu Kai pada saingan suku akhir pada Jumaat. Beregu kedua negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong berjaya menundukkan beregu Indonesia Gideon Markus Fernaldi/Markis Kido dengan mengambil masa 33 minit sahaja, sebelum mencatatkan kemenangan 19-21, 21-11 dan 21-13. Goh/Tan akan bertemu Lee Yong Dae/Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan pada pusingan seterusnya. Sementara itu, Chan Peng Soon/Lai Pei Jing menewaskan pasangan Amerika Syarikat Phillip Chew/Jamie Subandhi 21-17 dan 21-11 dalam acara beregu campuran. Beregu campuran negara itu akan berdepan dengan pasangan Thailand Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam yang menyingkirkan pasangan China, LuKai/Huang Yaqiong dengan keputusan 21-18, 20-22 dan 21-19. Bagaimanapun, satu lagi beregu negara Chan Kwong Beng/Chiang Jiann Shiarng yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama, gagal melepasi pusingan kedua setelah kalah kepada beregu China Xiaolong Liu/Zihan Qiu dengan keputusan 21-9 dan21-10. Kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 29 Jun ini menawarkan hadiah keseluruhan US$750,000 (RM2.41 juta).