Skuad hoki lelaki menundukkan pasukan tuan rumah Scotland 2-1 manakala pasukan wanita pula menewaskan Kanada dengan 3-0 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 pada aksi sebenar.
Dalam aksi lelaki, Scotland terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Chris Grassick pada minit ke-11.
Bagaimanapun 14 minit kemudian Muhammad Shahril Saabah menyamakan kedudukan untuk skuad negara.
Sementara itu, kemenangan ke atas Kanada merupakan yang pertama bagi skuad wanita sepanjang kempen kali ini.
Brienne Stairs memastikan Kanada terlebih dahulu di hadapan dengan jaringan pada minit ke-14 dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Malaysia berusaha menyamakan kedudukan dan saat itu tiba pada minit ke-47 menerusi Fatin Shafika Mohd Sukri.
Tujuh minit kemudian Kanada sekali lagi mendahului skuad negara menerusi jaringan Katherine Gillis, namun Nurul Nabihah Mansur berjaya mengikat kedudukan dengan meledak gol kedua negara pada minit ke-65.
Kegagalan kedua-dua pasukan mencari gol kemenangan sehingga tamat masa permainan sebenar memaksa penentuan penalti yang disempurnakan oleh pemain negara Nuraini Abdul Rashid, Norbaini Hashim, Norazlin Sumantri.