GLASGOW: Skuad badminton negara, tanpa kehadiran pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, wajar muncul skuad terbaik kontinjen negara pada Sukan Komanwel, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.
"Skuad badminton negara wajar diberi pujian kerana mereka berjaya mencapai sasaran tiga pingat emas di sini. Perjuangan untuk mendapatkan pingat emas yang sukar.
"Pasukan beregu wanita terpaksa bersaing dengan beregu India yang lebih konsisten dalam persaingan di sini. Bermula dengan saingan berpasukan campuran, mereka mungkin tidak berpeluang mara ke perlawanan akhir jika tewas kepada Singapura dalam separuh akhir," katanya kepada pemberita Malaysia di sini, pada Ahad.
Namun, beliau kecewa dengan prestasi pemain-pemain senior yang gagal menunjukkan prestasi terbaik di sini.
"Ketiadaan Chong Wei memang dirasai dan banyak pengaruh di sini. Saya amat kecewa dengan prestasi beberapa pemain senior. Saya ada menghantar SMS kepada Tengku (Tan Sri) Mahaleel (Tengku Ariff - presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM)) untuk mengatasi masalah ini dengan segera sebelum ke Incheon, Korea Selatan (Sukan Asia pada September ini).
"Saya akan duduk sekali dalam mesyuarat JKK badminton dan akan tengok apakah perancangan BAM selepas ini. Saya pun nak melihat aspek kejurulatihan secara menyeluruh," katanya.
Selain acara badminton, Zolkples melihat acara sukan terjun dan angkat berat berjaya mencapai sasaran masing-masing.
Selepas 11 hari bersaing pada edisi ke-20 Sukan Komanwel, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 dengan meraih enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.
Bagaimanapun, pencapaian kali ini tidak berjaya mencapai sasaran tujuh pingat emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan dipersetujui oleh Menteri Belia dan Sukan.
"Dalam sesetengah acara yang dipertandingkan di sini, standard pertandingan adalah begitu tinggi dan beberapa faktor tertentu seperti yang saya pernah katakan sebelum ini," katanya.
Beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan beberapa acara sukan yang gagal menyerlah di Sukan Komanwel Glasgow seperti boling padang dan menembak.
"Kita mempunyai peluang untuk meraih pingat emas dalam kedua-dua jenis sukan ini. Kita menyediakan peruntukan yang besar untuk persediaan mereka.
"Sepatutnya mereka mampu menghasilkan pingat emas, khususnya daripada kalangan atlet-atlet senior yang berpengalaman bersaing dalam banyak temasya sukan besar," katanya.
Zolkples turut mahu melihat pada temasya yang sama empat tahun lagi, perlu memberi peluang kepada jenis-jenis sukan yang mampu menghasilkan pingat.