SEPANG: Majlis Sukan Negara (MSN) mahu diberi lebih 'kuasa' dalam menentukan senarai atlet yangakan menyertai kontinjen negara ke Sukan Asia di Incheon, September depan. Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata satu perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan diadakan dalam masa terdekat untuk memastikan atlet yang akan mengambil bahagian di Sukan Asia benar-benar berkualiti dan mampu memberi saingan. Katanya, jawatankuasa pemilihan MOM dituntut agar membuat penilaian rapi sebelum atlet atau mana-mana pasukan disenarai ke temasya sukan besar supaya tidak lagi wujud 'penumpang' dalam kontinjen negara. "Saya sentiasa bersikap tegas cuma saya harap suara saya lebih diterima selepas ini. Saya telah mengadakan perbincangan awal dengan Tan Sri Tunku Imran (Tuanku Jaafar), Datuk Low Beng Choo (Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia) dan Datuk Sieh Kok Chi (Setiausaha Agung MOM), (mengenai perkara ini) dan mereka nampaknya lebih menerima alasan-alasan yang diberikan sebelum ini. "Jadi, saya harap sesuatu dapat kita lakukan untuk ke Incheon nanti. Yang penting kita tidak perlu membawa penumpang dalam kontinjen negara," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini sejurus tiba dari Glasgow, Scotland. Mengakui misi mencapai sasaran tujuh pingat emas di Sukan Komanwel 2014 gagal, beliau berkata bukan sahaja atlet malah beberapa jenis sukan didapati tidak sepatutnya dihantar untuk menyertai pertandingan yang tinggi tarafnya seperti di Sukan Komanwel dan Sukan Asia. "Keputusan akan dibuat oleh MOM dan saya sendiri berada dalam jawatankuasa pemilihan itu. Saya akan pastikan kita (MSN) memberikan pandangan berdasarkan kepada prestasi sebenar atlet. "Prestasi di Glasgow tentunya akan kita ambil kira untuk tentukan atlet-atlet yang akan bertanding di Sukan Asia," katanya. Bagaimanapun, Zolkples tetap berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian atlet di Glasgow terutama beberapa atlet yang mencipta kejutan seperti atlet terjun 3 meter papan anjal lelaki Ooi Tze Liang dan pasangan beregu wanita Vivian Kah Mun Hoo/Khe Wei Woon yang meraih pingat emas kali ini. Selain itu, beliau turut berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan jaguh terjun wanita Pandelela Rinong dan gimnas Wong Poh San yang terpaksa akur dengan pingat perak, walaupun disifatkan telah menonjolkan persembahan yang layak dinobatkan pingat emas. "Kalau kita lihat dari segi sasaran, tentunya kita gagal mencapainya tapi pada masa sama kita menang tujuh pingat perak dan beberapa pingat perak itu hampir kepada kemenangan pingat emas terutama pada terjunan terakhir Pandelela dan persembahan Wong dalam acara ribon. "Malangnya, sukan-sukan subjektif seperti ini boleh berpihak kepada mana-mana atlet dan kita sedia maklum tentang itu namun ia bukan menjadi alasan," katanya. Sementara itu, Zolkples berharap atlet-atlet yang bertanding di Sukan Komanwel dapat mengekalkan prestasi atau memperbaiki pencapaian mereka untuk mencipta sesuatu yang lebih membanggakan di Incheon nanti. Di samping itu juga, beliau berkata beberapa sukan dan atlet yang tidak bertanding di Sukan Komanwel seperti tenping bowling, karate dan wushu, diharap dapat memberi sumbangan terbaik mereka bagi menambah pungutan pingat pada temasya Sukan Asia nanti.