PEMAIN tengah Sepanyol, Xavi mengumumkan persaraan bagi aksi antarabangsa sebelum kempen kelayakan Euro 2016 bermula. Xavi dilabelkan sebagai pakar dalam corak 'tiki-taka' beraksi dengan Sepanyol sebanyak 133 kali antara penyumbang kepada kemenangan Piala Dunia 2010 serta Euro 2008 dan 2012. Namun persembahan skuad Sepanyol merundum selepas itu dan Xavi kecewa dengan musim 2013-14 apabila tersingkir awal pada aksi Piala Dunia Jun lalu serta kelabnya Barcelona gagal menjuarai liga buat kali pertama dalam tempoh enam tahun. Pun begitu Xavi,34, mengambil keputusan untuk terus bermain dengan kelabnya di bawah bimbingan jurulatih baharu serta bekas rakan sepasukan, Luis Enrique. "Saya bersyukur sepanjang bersama pasukan Sepanyol. Ia merupakan masa yang menakjubkan. "Namun saya bukan lagi berusia 20 tahun, tetapi masih mempunyai motivasi. Saya amat kecewa dengan diri saya kerana merasakan tidak berguna kepada Barca dan pasukan negara. "Saya mahu menarik diri, namun Luis Enrique masih nampak diri saya ini penting untuk pasukan," jelasnya. Xavi beraksi empat edisi Piala Dunia dan tiga kali Kejuaraan Eropah serta mencatat 100 kemenangan daripada 133 perlawanan. Penampilan terakhir Xavi bersama Sepanyol ketika aksi tewas 5-1 kepada Belanda di Piala Dunia baru-baru ini. Dia direhatkan oleh jurulatih Vicente del Bosque ketika aksi bertemu Chile yang menyaksikan pasukannya juga tewas sekaligus terkeluar ketika aksi peringkat kumpulan.