suria

Hafizh Catat Tempat Ke-13 Pada GP Republik Czech

Hafizh Syahrin Abdullah memulakan ujian masa rasmi di Kejohanan Bwin Grand Prix Republik Czech di Brno, Ahad. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya membawa pulang tiga mata apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 pada Grand Prix Republik Czech di Brno, Ahad.

Pelumba Petronas Raceline Malaysia itu memulakan saingan di tempat ke-21 sebelum menampilkan aksi tunggangan yang mantap untuk menamatkan saingan 20 pusingan dengan catatan masa 41 minit 26.744 saat.

Ini merupakan aksi yang hebat daripada pemuda berusia 19 tahun yang membuat penampilan sulung dalam kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2 musim ini.

Keputusan itu membolehkan Hafizah Syahrin meraih tiga mata untuk mengumpul 21 mata keseluruhan dan berada di kedudukan ke-21 dalam senarai kejuaraan dunia bagi kelas Moto2.

"Saya mula perlumbaan dengan penuh keyakinan walaupun berada di barisan ketujuh di grid. Bagaimanapun, gagal melakukan permulaan yang baik kerana jari saya cukup sejuk dengan tiupan angin sejuk secara berterusan semasa di grid," katanya dalam kenyataan di sini.

Perlumbaan itu dimenangi oleh Esteve Rabat dari pasukan Marc VDS Racing Team yang mencipta masa 41:05.058s diikuti rakan sepasukan Mika Kallio (41:08.332s) dan tempat ketiga oleh penunggang Dynavolt Intact GP, Sandro Cortese dengan masa 41:11.285s.

Artikel Sebelum

Artikel Lain