suria

Max Verstappen Bakal Catat Sejarah Pemandu Termuda F1

Max Verstappen bakal mencatat sejarah sebagai pemandu termuda dalam sejarah F1 tahun depan.

> Pemandu berusia 16 itu bakal menyertai Toro Rosso pada 2015

> Dia adalah anak kepada bekas pemandu F1, Jos Verstappen

> Bakal mengantikan Jean-Eric Vergne

FORMULA 1 (F1) bakal menyaksikan satu sejarah baru tercatat apabila Max Verstappen yang baru berusia 16 tahun menyertai sukan lumba itu sebagai pemandu pasukan Toro Rosso mulai musim 2015.

Max bakal mencatatkan sejarah sebagai pemandu paling muda yang pernah beraksi untuk F1.

Anak kepada bekas pemandu F1, Jos Verstappen itu hanya akan meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-17 September nanti dan buat masa ini bersaing dalam sirkit Formula 3 (F3).

Dalam satu kenyataan dalam laman web rasmi Toro Rosso, Verstappen berkata: 'Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Helmut Marko dan Red Bull di atas kepercayaan dan peluang yang mereka berikan kepada saya bagi merealisasikan impian saya untuk beraksi dalam Formula 1 pada 2015 bersama pasukan Scuderia Toro Rosso. Sejak saya berusia tujuh tahun, Formula 1 menjadi impian kerjaya saya. Jadi peluang ini bagaikan mimpi menjadi nyata.'

Verstappen, yang merupakan juara karting dunia akan mengantikan tempat pemandu Perancis, Jean-Eric Vergne.

Ketua pasukan Toro Rosso, Franz Tost menyifatkan pemandu muda itu sebagai 'salah seorang pemandu muda paling berbakat yang pernah dilahirkan.'

"Kami percaya dia memiliki kematangan dan kekuatan mental yang diperlukan untuk menjadi seorang pemandu yang berjaya pada masa hadapan," ujarnya.

Tambah Tost, kini terpulanglah kepada kami di Toro Rosso untuk membekalkan kenderaan yang kompetatif untuk Max bagi membolehkannya bermula dengan cemerlang dalam karier F1 nya.

Sementara itu Max Verstappen turut menyebut nama bapanya sebagai peransang utama untuk dia mengikuti jejak langkah dalam sukan lumba kereta.


Artikel Lain