KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David semakin hampir untuk meraih gelaran Terbuka Malaysia buat kali kesembilan selepas mara ke separuh akhir di Nu Sentral Mall di sini, malam Khamis. Pilihan utama itu hanya mengambil masa 38 minit untuk menyingkirkan pilihan ketujuh Annie Au dari Hong Kong dengan 11-7, 12-10 dan 11-4 pada perlawanan suku akhir. Nicol merangkul gelaran juara Terbuka Malaysia sebanyak lapan kali -- 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2013. "Sebelumnya dalam perlawanan, saya membuat pukulan bola dan memerhatikan bagaimana bola melantun dan merasai bagaimana bermain di gelanggang kaca. "Annie menunjukkan permainan yang cukup baik...Saya perlu berhati-hati ketika dia memberi saingan," kata pemain berusia 30 tahun itu. Nicol akan bertemu pemain nombor tiga dunia, Raneem El Weleily dari Mesir pada separuh akhir Jumaat. "Saya sudah bersedia. Selepas memenangi perlawanan ini, saya berasa puas dan tidak sabar untuk perlawanan esok. Saya berharap kita akan menyaksikan perlawanan yang menarik," kata beliau. Raneem sebaliknya menghadapi tentangan sengit dalam perlawanan lima set daripada pemain England Sarah-Jane Perry sebelum menang. Beliau mengambil masa selama 50 minit untuk menang dengan 11-4, 6-11, 12-10, 13-15 dan 11-6. Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, pemain bukan pilihan, Nour El Tayeb dari Mesir layak ke separuh akhir selepas lawannya, pilihan kelapan Madeline Perry menarik diri daripada pertandingan akibat kekejangan otot pada kaki kiri ketika Nour mendahului set keempat dengan 9-2. Nour memenangi perlawanan 2-1 dengan 11-9, 17-15 dan 4-11. Beliau akan menentang pemain Amerika Syarikat, Amanda Sobhy yang menempah tiket ke separuh akhir selepas menundukkan pemain Mesir, Habiba Mohamed Ahmed dengan straight set 11-5, 11-6 dan 11-7 dalam masa 25 minit.