suria

Beregu Campuran Negara Tekad Balas Dendam

Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing membalas pukulan pasangan Hong Kong Lung Chan Yun dan Suet Tse Ying pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014. Pasangan negara menang 21-14 dan 21-17.
COPENHAGEN, (Denmark): Beregu campuran negara, Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing bertekad untuk menebus kekalahan kepada pasangan suami isteri, Chris dan Gabriella Adcock dari England apabila mereka bertemu pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 di Denmark, pada Selasa.

Lai yang bergandingan dengan seorang lagi pemain negara, Chan Peng Soon kalah 14-21 dan 26-28 kepada Chris dan Gabriella dalam acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2014 di Scotland, baru-baru ini.

"Kalau boleh, saya mahu tebus kekalahan kepada mereka walaupun saya bergandingan dengan Tan. Kami akan beraksi seperti biasa tanpa sebarang tekanan walaupun pihak lawan diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan dan mendapat 'bye' pada pusingan awal.

"Kita akan berbincang dengan jurulatih beregu (Jeremy Gan) untuk pertemuan menentang pasangan England itu nanti," kata Lai kepada pemberita.

Mereka sebelum itu mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan pasangan dari Hong Kong, Chan Yun Lung dan Ying Suet Tse dengan keputusan 21-14 dan 21-17 pada pusingan awal Kejohanan Dunia di Ballerup Super Arena, di sini pada Isnin.

Menyentuh perlawanan hari ini, Lai berkata mereka tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan pasangan dari Hong Kong itu kerana sudah mengetahui corak permainan pihak lawan sejak awal.

"Kami mengetahui corak permainan mereka selepas melihat sesi latihan mereka, semalam. Kami pernah berjumpa sebanyak dua kali dengan mereka dan menang pada Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, tahun lepas," kata pemain kelahiran Pahang itu.

Berbeza pula dengan Tan yang menyasarkan mereka mampu sekurang-kurangnya layak ke suku akhir kejohanan selepas terkeluar seawal pusingan pertama Kejohanan Dunia 2013 di Guangzhou, China.

"Tahun lepas kita kalah disebabkan berlakunya kekeliruan pada papan markah. Kami harap insiden yang sama tidak akan berulang pada tahun ini," katanya yang berpuas hati dengan kemenangan yang diraih pada pusingan pertama.

Untuk rekod, mereka merupakan satu-satunya beregu campuran negara yang layak beraksi pada Kejohanan Dunia, tahun ini.
Tan Aik Quan, Lai Pei Jing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain