Wakil tunggal negara dalam acara beregu campuran itu kalah 16-21 dan 9-21 kepada pilihan keempat yang merupakan pasangan suami isteri, Chris dan Gabrielle Adcock dari England pada pusingan kedua di Ballerup Super Arena pada Isnin.
"Pasangan lawan berjaya menghidu corak permainan kami sehingga menyebabkan kami banyak keciciran mata kepada mereka (Chris dan Gabriella)," kata Lai kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.
Pemain kelahiran Pahang itu mengakui, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya kesilapan memberikan mata mudah sehingga membenarkan pihak lawan memenangi perlawanan.
Dalam pada itu, Lai berkata, mereka akan beraksi pada Kejohanan Grand Prix Emas Indonesia Masters 2014 dari 9 hingga 14 Sept di Palembang, Indonesia namun tidak meletakkan sebarang sasaran khusus.
Pada aksi pusingan awal pada Isnin, Tan dan Lai mengalahkan beregu Hong Kong, Chan Yun Lung dan Ying Suet Tse dengan keputusan 21-14 dan 21-17.