PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal mengakui yang dia tidak sedikit pun terkejut menyaksikan pasukannya dikalahkan 0-4 oleh pasukan kerdil MK Dons dalam saingan Piala Capital One yang kini bakal mencatat sejarah sebagai yang paling memalukan dalam sejarah kelab tersebut. Kekalahan yang memalukan itu membayangi rekod perpindahan bolasepak British berjumlah £59.7 juga yang dibayar oleh United kepada Real Madrid untuk mendapatkan pemain sayap terbaik dunia buat masa ini iaitu Ángel di María. Van Gaal menyalahkan beberapa kesilapan individu sebagai punca kekalahan tersebut. Daripada 11 pemain yang diturunkan dalam perlawanan liga menentang Sunderland Ahad lalu yang berkesudahan seri 1-1 hanya penjaga gol, David de Gea sahaja yang dikekalkan tetapi pada masa yang sama, terdapat beberapa pemain senior yang berpengalaman dalam perlawanan menentang MK Dons itu seperti Jonny Evans, Shinji Kagawa, Anderson, Javier Hernández dan Danny Welbeck. Tetapi mereka pun mendapati sukar untuk menyesuaikan diri dengan formasi dan falsafah baru yang diperkenalkan Van Gaal. “Ya sudah tentu saya berasa sungguh kecewa tetapi perlawanan ini boleh dianalisis. Dan saya tidak terkejut kerana saya sedar apa yang boleh berlaku lebih-lebih lagi Milton Keynes bermain dengan baik sekali, sangat agresif dan nasib juga menyebelahi mereka,” kata Van Gaal. Van Gaal juga pada masa yang sama menyeru para peminat United supaya menaruh perasaan sabar ke atas apa yang cuba dilakukannya. “Memang payah lebih-lebih lagi jika anda bermula sebagai pengurus di Liga Perdana Inggeris dengan perlawanan di tempat sendiri dan kemudian tewas (kepada Swansea) dan selepas itu sekadar seri dalam perlawanan seterusnya [dengan Sunderland] kemudian dalam perlawanan ketiga kembali tewas dalam perlawanan piala. "Saya tahu, ini semua sukar untuk ditelan oleh para peminat United, khususnya dalam menerima falsafah permainan Louis van Gaal. Tetapi untuk progres, kita mesti melakukan perubahan, kita mesti melakukannya, kerana saya dibawa masuk untuk membina sebuah pasukan yang baru dan pasukan baru tidak boleh dibina dalam tempoh sebulan,” tegasnya. Dan ketika ditanya apakah dengan kedatangan Di María memberi indikasi yang Van Gaal akan menukar formasi permainan daripada 3-5-2 kepada 3-4-1-2, Van Gaal menjelaskan hanya masa yang akan menentukannya. “Menukar sistem permainan adalah satu proses dan proses itu memakan masa untuk difahami dan dikuasai. Para pemain perlu berlatih untuk memahami sistem yang ingin dilaksanakan dan proses itu memerlukan masa jadi kita kena tengok nanti sama ada dengan kehadiran Di María kita perlu menukar sistem kita atau tidak. “Tujuan saya membawa masuk Di María adalah kerana dia boleh bermain sama ada sebagai pemain sayap atau pemain tengah yang mana kebolehan ini sangat penting untuk seorang jurulatih merancang strategi pasukannya. Ketika saya menjadi jurulatih Bayern Munich saya membawa masuk Arjen Robben, juga pada lebih kurang tarikh yang sama iaitu 28 Ogos. Robben mempunyai kebolehan dan keupayaan yang serupa dengan Di Maria. Dengan pemain seperti ini, anda berupaya menukar corak permainan anda mengikut kesesuai. “Di María juga pada masa yang sama akan mengambil masa untuk memahami dan mempelajari budaya dan cara kelab ini berfungsi. Dia tidak akan boleh terus bertukar dalam sekelip mata tetapi pemain berkaliber sepertinya akan dengan pantas menyerap kepada suasana baru. "Barang diingat, Ángel Di Maria adalah pemain berkelas dunia. Dia pantas, dia berbakat, dia boleh mengelicik dan dia boleh menggunakan kaki kiri dengan cemerlang. Tetapi pada masa yang sama dia juga bermain secara berpasukan. Itu yang lebih penting,” jelas Van Gaal dengan panjang lebar. Di María telah menandatangani perjanjian lima tahun dengan bayaran gaji sekitar £200,000 seminggu iaitu yang tertinggi dalam pasukan United selepas Wayne Rooney. Dengan apa yang sedang dihadapi oleh United sekarang, mereka kini dalam situasi desperado untuk mendapatkan permit kerja untuk Di María agar dia dapat diturunkan bersama-sama seorang lagi pemain baru, Marcos Rojo dalam perlawanan liga menentang Burnley, Sabtu depan. Jika United tewas atau seri lagi hujung minggu ini, Van Gaal bakal berhadapan dengan situasi sepertimana yang telah dihadapi oleh David Moyes musim lalu. Itu adalah malapetaka.