suria

Chong Wei Raih Slot Suku Akhir Kejohanan Dunia 2014

TENANG... Jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei bersahaja membalas pukulan pemain Jerman Dieter Domke pada pusingan kedua Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014. Chong Wei menang dalam pertarungan dua set dengan 21-12 dan 21-9. -fotoBERNAMA
COPENHAGEN: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tampil bergaya apabila mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia BWF 2014 di Ballerup Super Arena di sini, Khamis.

Chong Wei, selaku pilihan utama, langsung tidak tercabar untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik selepas mudah menundukkan wakil Ireland, Scott Evans 21-11 dan 21-12 dalam masa 36 minit.

Evans nyata gagal mengimbangi aksi kemas yang dipamerkan Chong Wei untuk menggapai impian bergelar juara dunia buat kali pertama.

Chong Wei, 31, akan berdepan dengan pemain pilihan keenam, Wang Zhengming pada aksi suku akhir, Jumaat.

Sebelum itu, pemain China berusia 24 tahun itu mengesahkan slot ke suku akhir dalam masa 42 minit apabila menyingkirkan pemain Hong Kong, Nan Wei dalam 'straight-set' 21-15 dan 21-18.

Sekiranya berjaya mengekalkan rekod bersih dengan Zhengming, Chong Wei dijadual menentang pemenang antara pilihan ke-14, Viktor Axelsen dan Tien Chen Chou dari Taiwan dalam peringkat separuh akhir, Sabtu.

Chong Wei menyifatkan kejayaan melepasi pusingan ketiga itu merupakan satu permulaan yang berliku dalam misi memburu gelaran dunia yang masih belum dikecapi sepanjang kariernya.

"Perlawanan hari ini bukanlah terlalu sukar. Bermula esok, perlawanan mungkin bertambah sukar dengan berdepan pemain China dan mungkin persediaan yang paling hebat perlu saya lakukan.

"Fokus saya masih kepada persediaan diri sendiri dan saya tidak pandang rendah pemain China itu walaupun tidak pernah kalah dalam 11 pertemuan dengannya sebelum ini," katanya.

Dalam pertemuan terakhir pada Terbuka Malaysia 2014, Januari lepas, Chong Wei mengatasi lawannya itu dalam 'straight-set' 21-17 dan 21-18.

Anak jati Pulau Pinang itu turut berharap wakil beregu tunggal negara dalam acara lelaki, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong akan meneruskan momentum selepas mengesahkan slot suku akhir.

Hoon dan Tan mengambil masa 63 minit untuk mengalahkan pasangan Jepun, Takeshi Kamura dan Keigo Sonoda 19-21, 21-17 dan 21-19 dalam aksi pusingan ketiga.

Bagaimanapun, satu lagi beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Keong gagal meneruskan kemaraan apabila kalah kepada beregu Taiwan, Lee Sheng Mu/Tsai Chia Hsin 21-19, 17-21, 19-21 dalam saingan pusingan ketiga.

Artikel Lain