Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Operasi), Supt Fauzilan Abdul Aziz mengesahkan penangkapan itu pada Sabtu yang membabitkan empat remaja berumur di antara 17 dan 18 tahun, serta seorang lelaki berumur 20 tahun.
Menurutnya kejadian bermula kira-kira pukul 11 malam Sabtu selepas selesainya perlawanan bola sepak Piala Malaysia di antara pasukan Sarawak dan Perak di stadium itu.
Kira-kira 2,000 orang penonton memasuki padang perlawanan sebelum mereka membakar suar dan mercun, selain melontar objek ke arah anggota polis yang bertugas namun dapat dileraikan dalam tempoh 30 minit selepas itu.
Perusuh-perusuh yang terlibat seterusnya membakar sebuah kenderaan pacuan empat roda Polis jenis Perodua Kembara sehingga rosak keseluruhannya.