MANCHESTER United dilaporkan telah memenangi persaingan bagi mendapatkan Radamel Falcao dari Kelab Monaco menerusi pinjaman selama setahun. Penyerang bernilai £12 juta itu akan mengiringi Angel di Maria, Daley Blind, Luke Shaw, Ander Herrera dan Marcos Rojo sebagai pemain baharu pilihan pengendalinya, Louis van Gaal. Penyerang antarabangsa Colombia berusia 28 tahun itu setakat ini belum menandatangani terma peribadi namun difahamkan akan menerima gaji sebanyak £200,000 seminggu. Falcao yang menjadi pemain terakhir dibeli United pada pintu pemindahan kali ini dijangka tiba di Manchester menaiki pesawat peribadi kelab berkenaan. Penyerang berskil itu sebelum ini dilapor akan menyertai Arsenal atau Manchester City yang mula menjejakinya sejak minggu lalu. Bagaimanapun, United telah membuat kejutan diakhir tempoh pemindahan dengan memberi tawaran lebih tinggi kepadanya untuk memastikan pemain terbabit dapat menggantikan Robin van Persie yang mengalami kecederaan ketika ini. Ketibaan Falcao sebagai penyerang baharu United juga memaksa kelab itu menjual Danny Welbeck dan Javier Hernandez.