suria

Terbuka Amerika: Makarova Ketepikan Azarenka Untuk Mara Ke Separuh Akhir

Aksi Ekaterina Makarova ketika membalas pukulan daripada pemain Belarus, Victoria Azarenka.
PEMAIN kidal dari Rusia Ekaterina Makarova mencipta nama dalam acara perseorangan Grand Slam apabila menyingkirkan naib juara dua tahun lepas, Victoria Azarenka, untuk layak ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat, Rabu.

Dia mencipta kemenangan dengan mencatatkan mata 6-4 6-2.

Pemain pilihan ke-17 itu tenang mengenepikan pilihan ke-16 dari Belarus dan mara ke peringkat separuh akhir buat kali pertama selepas empat kali terkandas di peringkat suku akhir. 

Berani merebut setiap peluang ketika menentang bekas pemain nombor satu dunia itu, Makarova memberikan tekanan kepada Azarenka, dan akhirnya mencipta kemenangan.

"Saya rasa menakjubkan. Akhirnya saya berada di peringkat separuh akhir, akhirnya saya di sini," kata Makarova berusia 26 tahun ini yang memberitahu penonton di Stadium Arthur Ashe.

"Ia satu perasaan yang hebat." 

Makarova telah beberapa kali menjulang trofi utama tetapi sentiasa berkongsi kemenangan dengan pasangannya dalam acara beregu.

Dia pernah menjuarai Terbuka Perancis pada tahun 2013 ketika berpasangan dengan Elena Vesnina dan beregu campuran pada Terbuka Amerika Syarikat 2012 dengan pemain dari Brazil Bruno Soares.

Makarova, yang memenangi gelaran kedua perseorangan pada perlawanan Pattay City tahun ini di Thailand, akan bertemu sama ada juara bertahan dua kali dan pilihan utama Serena Williams atau pemain pilihan ke-11 Flavia Pennetta dari Itali untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.

Terdahulu, pemain Denmark Caroline Wozniacki telah menempah tiket ke separuh akhir untuk bertemu pemain bukan pilihan dari China, Peng Shuai.

Terbuka AS, Ekaterina Makarova

Artikel Sebelum

Keputusan Persahabatan Antarabangsa

Artikel Lain