KELAB bola sepak Sepanyol yang didakwa sering melupakan penyokong mereka, Villarreal bertindak sebaliknya apabila membenarkan seorang remaja berusia 13 tahun yang menghidapi penyakit kanser bermain bersama mereka. Saat mengujakan penyokong itu hadir pada pertemuan persahabatan melibatkan Villarreal menentang Celtic. Penyokong muda itu, Gohan yang sedang bertarung dengan penyakit kanser ketika ini telah memberitahu hasratnya untuk bermain bersama skuad Villarreal di Stadium El Madrigal sebelum menghembuskan nafas terakhir kepada seorang jururawat. Mendengar hasrat remaja itu, Villarreal kemudian bersetuju merakam detik manis Gohan pada perlawanan persahabatan berkenaan dengan melayannya seperti pemain tetap kelab berkenaan. Gohan diberikan keistimewaan seperti jersi yang tertera namanya, temubual oleh stesen televisyen, tempat pertukaran pakaian dan latihan sebelum perlawanan. Remaja itu turut diberikan penghormatan memulakan sepak mula dan menjaringkan gol pertama buat skuad Villarreal.