NEW YORK: Serena Williams dan rakan karibnya, Caroline Wozniacki bakal berentap di final Terbuka Amerika Syarikat apabila masing-masing menang pada aksi separuh akhir. Sebagai pilihan utama dan pemain nombor satu dunia, Serena, menewaskan Ekaterina Makarova 6-1 6-3 dengan penuh bertenaga untuk mengatasi pilihan ke-17 dari Russia itu. Bagi Caroline pula, tiket final ditempah apabila pemain China Peng Shuai mengalami keletihan akibat terlalu panas sebelum menarik diri pada set kedua, sekali gus membolehkannya menang 7-6(1) 4-3. Sebelum bermulanya kejohanan itu, kedua-dua sahabat ini dikatakan berhasrat menyertainya untuk meringankan beban masalah peribadi yang ditanggung mereka. “Dia kawan baik saya. "Kami berkata sebelum kejohanan bermula: “Kita berada dalam kumpulan undian berbeza jadi harapnya kita akan bertemu di perlawanan akhir,” kata Caroline, bekas pemain nombor satu dunia yang masih memburu gelaran Grand Slam. Serena juga memperkatakan perkara sama ketika undian dijalankan. “Dia sememangnya mahukan kemenangan dan memburu Grand Slam pertamanya dan saya pula mahu menang untuk mencipta sejarah,” kata Serena yang mahu mengakhiri saingan Grand Slam musim ini. Memberi reaksi mengenai perlawanan akhir nanti, Caroline berkata: “Kami perlu melupakan persahabatan di gelanggang, kami saling bersaing." Serena pula berkata: "Selepas perlawanan, salah seorang dari kami akan mengucapkan tahniah kepada yang lain dan kami akan menjadi kawan semula."