PEMEGANG saham utama kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs, Joe Lewis dikatakan bersedia untuk menjual kelab itu pada harga £1 bilion. Portal berita Britain, Mirror Sport melaporkan usahawan berusia 77 tahun itu sudah bersedia untuk memungut semula pelaburannya selama bertahun-tahun bersama kelab itu. Bagaimanapun, jika ada pembeli, pemilik baru itu bukan sahaja perlu melaburkan £1 bilion untuk menguasai saham majoriti malah dia perlu juga menanggung kos pembinaan stadium baru kelab yang dianggarkan bernilai £400 juta. Spurs kini di peringkat akhir rundingan dengan pihak berkuasa tempatan untuk memulakan pembinaan stadium baru mereka yang apabila siap kelak mampu menampung 56,250 penonton. Lewis membeli saham majoriti kelab berkenaan dari tangan pemilik asalnya, Alan Sugar pada 2001 hanya pada harga £22 juta.