JUARA bertahan La Liga, Atletico Madrid kehilangan penyerang berbisa mereka Diego Costa kepada Chelsea musim ini tetapi mereka tidak sedikit pun memperlihatkan rasa rendah diri apabila bertemu dengan juara Eropah, Real Madrid sebaliknya menundukkan jiran mereka itu 2-1 hasil jaringan pemain gantian Arda Turan. Ini adalah kekalahan kedua Real dalam tiga perlawanan pertama liga. Atlético tidak pernah menumpaskan Real dalam tempoh 14 tahun dan 25 perlawanan sehinggalah mereka berbuat demikian dalam perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol Mei lalu. Sejak itu mereka merampas takhta liga menjadikan mereka pasukan pertama selain Barcelona dan Real untuk muncul juara liga dalam tempoh sedekad dan mereka memulakan musim ini dengan menumpaskan Real Madrid untuk memenangi Piala Super Sepanyol iaitu perlawanan pembuka tirai musim. Dan bagi pasukan bimbingan Carlo Ancelotti, sejak mereka menjual Xabi Alonso kepada Bayern Munich dan sebelum itu Angel Di Maria kepada Manchester United, segala-galanya seperti tidak kena dan tidak menjadi. Sebaliknya pasukan Diego Simeone mempamerkan aksi seolah-olah mereka akan mempertahankan kejuaraan mereka musim ini tanpa sebarang masalah. Ini dibuktikan apabila Atletico mendahului 1-0 walaupun perlawanan tidak sampai sepuluh berlangsung melalui tandukan Tiago. Madrid bernasib baik kerana tidak lama selepas itu mereka memperolehi sepakan penalti dan seperti biasa Ronaldo melaksanakan tugas itu tanpa masalah. Tetapi Turan yang dimasukkan pada minit ke-60 memastikan kemenangan di pihak Atletico dengan menjaringkan gol 16 minit kemudian. Selepas itu, Real tidak dapat mengubah nasib malang mereka walaupun mereka cuba mengubah rentak permainan dengan memasukkan Raphael Varane (78'), Javier Hernandez (63') dan Alarcon Isco (72').