suria

Atlet Malaysia Di Incheon Kena Pakai Pakaian Tebal

SEPANG: Atlet negara yang mengambil bahagian di Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan perlu memakai pakaian tebal terutama pada waktu malam, kata Ketua Perubatan Malaysia ke Sukan Asia 2014, Dr Arshad Puji.

Beliau berkata ini bagi mengelak mereka daripada mengalami demam dan selesema.

"Saya difahamkan cuaca di waktu malam di sana mencecah 16 darjah celcius. Kita tidak mahu kesihatan mereka terganggu seperti demam dan selesema ketika sedang beraksi. 

"Mereka juga perlu menjaga pemakanan mereka," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Incheon bersama-sama para pegawai termasuk ketua kontinjen Datuk Danyal Balagopal Abdullah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini lewat malam Isnin.

Dr Arshad berkata sebanyak 31 pegawai perubatan termasuk empat orang doktor akan berada di Incheon bagi memastikan kesihatan para atlet dalam keadaan baik dan terkawal.

"Kita telah membuat persediaan dari aspek perubatan sejak sebulan lepas. Kita juga akan menyediakan klinik perubatan dan kemudahan sains sukan di sana," katanya.

Malaysia menghantar 280 atlet daripada 25 jenis sukan ke Incheon yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.
Sukan Asia, Malaysia, Incheon

Artikel Sebelum

Artikel Lain