KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia 2014 berakhir setelah dua wakil negara gagal melepasi pusingan kelayakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini. Pada perlawanan kelayakan pusingan kedua hari ini, pemain muda negara Koay Hao Sheng, 16, yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama, tewas mudah 6-0 dan 6-0 kepada pemain Britain, James Ward. "Saya agak gementar kerana ini adalah kali pertama menyertai kejohanan Jelajah ATP. Saya cuba melakukan yang terbaik namun ia tidak berhasil memandangkan lawan saya itu hebat," katanya. Seorang lagi wakil negara, Syed Mohd Agil Syed Naguib gagal mara ke pusingan ketiga esok selepas kalah kepada pemain Jepun Niki Takuto 6-3 dan 6-0. Bagaimanapun, Syed Mohd Agil akan berganding dengan pemain Australia, Nick Kyrgios dalam acara beregu pada kejohanan bernilai RM3.31 juta, Selasa ini. Gandingan itu akan membuka langkah dengan menentang beregu pilihan kedua Jamie Murray (Britain)/John Peers (Australia). Dalam pada itu, lapan pemain akan berentap pada perlawanan kelayakan pusingan ketiga untuk memburu empat slot ke undian utama kejohanan. Keputusan kelayakan pusingan kedua: Bumpei Sato (JPN) mn Deivids Juksa 6-3, 6-2 Niki Takuto (JPN) mn Syed Mohd Agil Syed Naguib (MAS) 6-3, 6-0 Takeuchi Kento (JPN) mn Singekrawee Wattanakul (THA) 6-2, 6-3 Philipp Oswald (AUT) mn Oliver Marach (AUT) 3-0 (Retired) James Ward (GBR) mn Koay Hao Sheng (MAS) 6-0, 6-0 N.Vijay Sundar Prashanth (IND) mn John Peers (AUS) 7-6(4), 4-6, 6-1 Philipp Petzschner (GER) mn Scott Lipsky (USA) 6-4, 6-4 Jeevan Nedunchezhiyan (IND) mn Stefan Merunka (CRO) 6-0, 6-0.