INCHEON: Jaguh trek negara Azizulhasni Awang mara ke pusingan suku akhir acara pecut individu pada Sukan Asia ke-17 di Velodrom Antarabangsa Incheon di sini, Isnin. Pelumba berusia 26 tahun itu menewaskan pelumba Arab Saudi, Ashabeed Habeeb Salman D pada pusingan pertama dan mencapai kemenangan kedua dengan mengatasi pelumba Hong Kong, Law Kwun Wa. Terdahulu, Azizulhasni melakukan catatan masa terbaiknya 10.062 saat di peringkat kelayakan, di belakang pelumba Jepun, Seiichiro Nakagawa yang merakamkan masa 9.942s. "Azizul berada dalam keadaan terbaik dan bertenaga. Ia akan menjadi perlumbaan menarik membabitkan pelumba Korea Selatan. "Saya bangga dengan kemajuan yang dicapainya dan perlu ingat kami akan berdepan dengan pelumba berkualiti dan tidak mampu untuk melakukan sebarang kesilapan," kata ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, kepada pemberita di sini. Sementara itu, rakan sepasukan, Muhammad Edrus Mohd Yunus hanya mampu menduduki tangga kesembilan selepas tewas kepada pelumba China, Bao Saifel dalam pusingan kedua. Sebelum itu, Muhammad Edrus mencatatkan masa 10.185s untuk mengalahkan pelumba Taiwan, Liao Kuo Lung pada pusingan pertama. "Rasa sikit kecewa sebab tidak dapat masuk suku akhir. Bagaimanapun, saya berpuas hati sebab dapat mencipta rekod peribadi terbaik 10.1s selepas merekodkan masa 10.2s pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow baru-baru ini," katanya.