suria

Sukan Asia: Nicol Sumbang Emas Ke-2 Malaysia

Nicol merangkul pingat emas manakala Wern meraih pingat perak pada perlawanan akhir squash wanita manakala Ong Beng Hee meraih pingat gangsa bagi perseorangan lelaki di Pusat Squash Yuerumul pada Temasya Sukan Asia ke-17 Incheon pada Selasa.

INCHEON: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David mengalahkan rakan senegara Low Wee Wern untuk mempertahankan gelarannya dan menyumbang pingat emas kedua Malaysia pada SukanAsia ke-17 di Pusat Skuasy Yeorumul pada Selasa.

Ia juga merupakan pingat emas kelima Nicol sejak penyertaannya dalam Sukan Asia. Nicol mengalahkan Low dengan mata 9-11, 11-6, 11-5 dan 12-10 dalam masa 53minit.

"Ia memang hebat dan saya tidak percaya saya sudah menang kerana permainan itu sangat panjang dan menarik selain bermain dengan rakan sepasukan. Anda akan merasai begitu dan ia akan berterusan untuk masa yang agak lama.

"Saya amat gembira kerana menang dan untuk mendapat pingat emas dan perak buat Malaysia. Ia satu permainan dan acara yang hebat untuk Malaysia," katanya kepada pemberita.

Low menguasai set pertama selepas mendahului Nicol sehingga memungut mata 11-9 sebelum Nicol, 31, menguasai set kedua dan ketiga dengan 11-6 dan 11-5.

"Sesiapapun yang bertemu saya, mereka akan relaks dan terus dengan permainan mereka. Dia juga melakukan begitu dan permainannya agak baik dalam set pertama,"katanya.

Nicol kini merupakan atlet Malaysia paling berjaya dalam sejarah Sukan Asia.

Beliau memenangi lima pingat emas, berkongsi penghormatan itu dengan Tan Sri Dr M. Jegathesan (olahraga), Ng Boon Bee (badminton) dan Shalin Zulkifli (boling) Nicol memenangi pingat emas pertama perseorangan di Bangkok pada 1998, namun gagal mempertahankannya pada 2002 di Busan apabila kalah kepada Rebecca Chiu dari Hong Kong dalam perlawanan akhir.

Namun beliau menang di Sukan Asia di Doha pada 2006 dan Guangzhou pada tahun2010.  

Pingat emasnya yang lain dikutip dalam acara berpasukan, yang diperkenalkan buat pertama kali di Guangzhou.

Sementara itu, Low berkata beliau sentiasa menghadapi kesukaran untuk menumpaskan Nicol.

"Permainan saya sangat baik namun Nicol seorang pemain yang lebih hebat diperingkat akhir perlawanan," katanya.

Nicol dan Low akan menyertai acara berpasukan pada Rabu bersama dengan Delia Arnold dan Vanessa Raj.

nicol, skuasy, sukan asia

Artikel Sebelum

Keputusan Kejohanan Futsal AFF 2014

Artikel Lain