suria

Kejutan Di Lapangan Sasar Menembak, Gelanggang Badminton

Nur Suryani meraih pingat perak bagi acara individu.
INCHEON: Penampilan kontinjen Malaysia pada hari kelima Sukan Asia ke-17 di sini menyaksikan dua aksi yang tidak dijangka di lapangan sasar menembak dan di gelanggang badmintion.

Tanpa diduga, penembak wanita negara Nur Suryani Mohamed Taibi merangkul pingat perak dalam acara 50m Rifle prone individu, kebetulan hadiah ulang tahun ke-32 kelahirannya serta membantu dua rakannya Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim meraih gangsa dalam acara berpasukan.

Nur Suryani mengumpul 620.6 mata, menyamai mata yang diperolehi penembak tuan rumah Eum Bit-Na namun kemenangan berpihak kepada penembak negara pada siri terakhir bidikan iaitu 103.5 mata.

Bagi acara berpasukan pula trio negara meraih 1,853.6 mata.

Menurut ketiga-tiga penembak negara, apa yang dimenangi itu adalah bonus kerana mereka masing-masing tidak meletakkan sasaran tinggi dalam acara ini.

Apatah lagi, Muslifah baru sahaja dapat menyelesaikan 'masalah' dengan senjata beliau Selasa dan sempat mula berlatih lewat petang Selasa.

"Saya berlatih dalam kalangan semua penembak lelaki semalam memandangkan senjata saya baru boleh diguna selepas dibaiki oleh pihak penganjur. Di samping itu, pihak penganjur banyak membantu kami," katanya ketika ditemui Rabu.

Selain skuad menembak wanita, beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei turut mencipta kejutan apabila menundukkan juara dunia tahun lepas, Wang Xiaoli/Yu Yang dari China pada pusingan kedua.

Kemenangan 11-21, 21-11, 22-20 ke atas beregu China itu membolehkan mereka mara ke suku akhir dan bakal berdepan beregu Macau Wang Rong/Zhang Zhibo.

Kejayaan itu membuka peluang kepada beregu negara itu untuk memburu pingat pertama di Sukan Asia dalam acara beregu wanita selepas 44 tahun.

Acara skuasy berpasukan lelaki dan wanita masing-masing cemerlang apabila memenangi semua perlawanan.

Pasukan lelaki menewaskan Jordan 2-1 sebelum menundukkan Jepun 3-0 manakala pasukan wanita pula menang mudah 3-0 ke atas Jepun.

Selain kecemerlangan di beberapa gelanggang, Velodrom Antarabangsa Incheon menyampaikan khabar duka apabila pelumba trek negara Azizulhasni Awang gagal meraih sebarang pingat dalam acara pecut lelaki individu.

Pelumba yang digelar 'The Pocketrocket Man' itu kecewa apabila sekadar meraih tempat keempat selepas tewas kepada pelumba China Bao Saifei dalam perebutan pingat gangsa, sekali gus gagal menyumbang pingat buat anak tersayang Amna Maryam yang turut hadir menyaksikan perlumbaan.

Harapan negara masih bersandar kepada Azizulhasni untuk mempertahankan pingat emas dalam acara keirin yang dimenanginya pada edisi lepas di Guangzhou, China.

Azizulhasni akan turun bersama Josiah Ng dalam acara keirin manakala satu lagi harapan pingat negara terletak di bahu Fatehah Mustapa yang mara ke pusingan separuh akhir acara pecut individu wanita.

Fatehah berjaya menewaskan Hye Jin dan mara ke pusingan separuh akhir dalam acara pecut wanita. 


Fatehah mengatasi pelumba tuan rumah Lee Hyejin 2-0 pada saingan suku akhir dan bakal berdepan pelumba China Zhong Tianshi pada Khamis.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap agar Azizulhasni dapat menyumbang pingat emas bagi mengelakkan kontinjen negara 'tergelincir' dari landasan mencapai sasaran lapan pingat emas yang ditetapkan.

Sukan Asia, menembak, badminton

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Liga

Artikel Berikut

Artikel Lain