INCHEON: Trio 'Robin Hood' Malaysia gagal menyaingi kehebatan pemanah China pada aksi akhir acara recurve lelaki berpasukan di Gyeyang Asiad Archery Field di sini Ahad. Namun, mara ke peringkat akhir dan pulang dengan pingat perak adalah satu pencapaian yang membanggakan, sekali gus meletakkan nama Malaysia dalam senarai pemanah terbaik di peringkat Asia. Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin meraih pingat perak selepas tewas 0-6 kepada trio China Gu Xuesong, Qi Kaiyao dan Yong Zhiwei. "Secara keseluruhannya semuanya okay, panahan dan pilihan kami boleh buat seperti biasa sama seperti waktu latihan. Tapi kalau kita tengok tadi, China hampir mendapat mata penuh. "Ia memang persaingan getir. Kami disasarkan ke separuh akhir sahaja dan kami berpuas hati mara ke peringkat akhir. Kalau boleh memang kami pun nak dapatkan emas," kata Khairul Anuar. Pada perlawanan akhir hari ini, trio negara tewas 54-57, 53-57 dan 57-58 kepada pemanah China. Dalam pada itu, Haziq melahirkan rasa kecewa apabila gagal mengekalkan prestasi panahannya pada Ahad. Katanya, pada luarannya, kekuatan trio negara dan China nampak sama, cuma kelebihan kepada pemanah China kerana mereka berjaya mengawal permainan dan kawalan diri yang baik. "Hajat yang tidak sampai cuma tidak dapat kekal anak panah pergi mana, bukan saya patut tembak ke situ, tapi apa hendak buat semua sudah jadi. Saya harap lepas ini boleh lebih fokus untuk pertandingan-pertandingan yang akan datang," katanya. Menurut Haziq, walaupun berjaya bangkit selepas membuat sasaran tercorot enam mata, namun tidak dapat membantu pasukan negara meraih emas dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Pingat gangsa dimenangi trio Korea Ku Bonchan, Lee Seungyun dan Oh Jinhyek yang menewaskan pemanah Jepun Takaharu Furukawa, Hideki Kikuchi dan Shohei Ota.