INCHEON: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong dan pasangannya Leong Mun Yee gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China. Mengakui saingan sengit daripada semua peserta terutama daripada Korea Utara, Pandelela dan Mun Yee sekadar meraih gangsa dalam acara 10 meter platform seirama yang berlangsung di Munhak Park Tae-hwan Aquatics Center, Selasa. Pingat emas acara itu dimenangi penerjun China, Chen Ruolin dan Liu Huixia selepas mengumpul 346.5 mata, diikuti penerjun Korea Utara Kim Unhyang dan Song Namhyang dengan 320.64 mata. Pandelela dan Mun Yee mengutip 313.92 mata untuk pingat ketiga dari acara terjun yang masuk hari kedua. "Memang agak sedikit kecewa tapi selepas tengok kepada persembahan hari ini, saya rasa boleh tahan sebab saingan kali ini lebih hebat dari empat tahun lepas di mana China semakin meningkat dan persembahan Korea Utara juga makin maju. "Semua peserta memberikan saingan yang sengit. Saya menikmati pertandingan hari ini. Saya dengan Mun Yee memang berharap kami dapat buat yang terbaik tapi masa pertandingan kurang sikit persembahan kami tapi keseluruhan ia memuaskan sebab tiada kesalahan besar dibuat," kata penerjun kelahiran Sarawak ini. Dalam acara terjun 10m platform seirama hari ini, penerjun negara mempamerkan terjunan konsisten untuk berada di tangga kedua namun sedikit tergelincir pada terjunan keempat. "Saya gembira sebab dapat menyumbang pingat kepada negara tapi hari ini prestasi saya tidak berapa elok, sepatutnya ia lebih baik. Ada sedikit kesilapan pada terjunan keempat," katanya. Mun Yee tidak pernah pulang dengan tangan kosong sejak penyertaannya di temasya Sukan Asia sejak 2002 di Busan. Beliau meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Farah Begum Abdullah dan di Doha (2006) dalam acara 3meter papan anjal individu.