INCHEON: Skuad terjun negara pada Khamis mempamerkan aksi hambar apabila tiada sebarang pingat yang dituai pada hari keempat acara terjun yang dipertandingkan di Munhak Park Tae-hwan Aquatics Center. Ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang beraksi dalam acara 10m platform individu wanita gagal mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya pada edisi 2010 di Guangzhou, China. Beliau hanya mengumpul 309.35 mata untuk menduduki tangga ketujuh daripada 10 peserta akhir acara itu. Rakan senegaranya, Loh Zhia Yi pula terlepas pingat gangsa apabila gagal meraih mata yang tinggi pada terjunan pertama dan ketiga, sekali gus dipintas peserta Korea Utara Kim Unhyang yang meraih gangsa. Zhia Yi mengumpul 321.00 mata manakala Kim mengumpul 358.45 mata. China meneruskan penguasaan apabila meraih emas dan perak menerusi Si Yajie dan Huang Xiaohui yang masing-masing mengutip 394.25 dan 362.30 mata. "Secara keseluruhannya, saya kurang berpuas hati dengan persembahan saya hari ini. Mungkin hari ini bukan hari saya. Pada sesi latihan, saya tidak berasa letih atau tidak okey. Masa pertandingan saya okey, fikir positif tapi penghabisan saya tidak seperti yang diharapkan," katanya Pandelela yang mengakui tidak berpuas hati dengan kelima-lima terjunan yang dilakukannya dan boleh melakukan lebih baik dari itu. Beliau berkata apa yang berlaku hari ini akan menjadi pengajaran kepada beliau apabila bertanding di kejohanan yang lain nanti. Dalam pada itu, Zhia Yi pula berkata sekiranya beliau melakukan terjunan yang lebih baik hari ini, mungkin pingat gangsa sudah menjadi milik kontinjen negara. "Ini kali pertama saya dapat kalahkan Pandelela. Saya tidak jangka apa-apa, cuma kalau hari ini saya boleh buat terjunan yang lebih baik tadi, mungkin saya akan dapat pingat gangsa," katanya. Terdahulu, Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman juga gagal menyumbang pingat apabila sekadar menamatkan enam terjunan di tempat ketujuh dan kelapan. Tze Liang mengumpul 425.15 mata manakala Ahmad Amsyar mengumpul 402.85 mata dalam acara 3m papan anjal lelaki individu. Pingat emas acara itu dimenangi penerjun China, Cao Yuan dengan 523.65 mata diikuti rakan senegaranya He Cao dengan 503.80 mata untuk menggondol pingat perak. Pingat gangsa dimenangi penerjun Jepun, Sho Sakai dengan 456.05 mata.