suria

Hoki Piala Sultan Johor: Malaysia Tewas 2-1 Kepada Australia

Pemain Malaysia Mohd Hamsani membuat pukulan sambil dihadang oleh pemain Australia Simon Benetti pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor kali ke-4 di Stadium Taman Daya Johor Baharu Ahad. -fotoBERNAMA
JOHOR BAHARU: Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila tewas 2-1 kepada Australia dalam perlawanan pusingan awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2014 di sini Ahad.

Malah, pasukan negara hanya mampu mencuri satu pukulan sudut penalti di Stadium Hoki Taman Daya itu tetapi tidak dapat menjaringkan gol berikutan kecekapan pertahahan pasukan Australia mengawal kubu mereka.

Gol diperolehi melalui pukulan penalti oleh ketua pasukan Muhammad Haziq Samsul pada minit keempat setelah Meor Azuan Hassan dikasari oleh pemain Australia di hadapan pintu gol pasukan itu.

Namun Australia kemudiannya menyamakan kedudukan apabila William Gilmour yang tidak dikawal pertahanan Malaysia menjaringkan gol padang pada minit kesembilan, hasil cubaan pukulan sudut penalti.

Australia menghasilkan gol kemenangan menerusi jaringan Joshua Bretherthon pada minit ke-18, juga akibat kelemahan kawalan pertahanan Malaysia menangkis percubaan pukulan sudut penalti.

Pasukan negara memperbaiki kelemahan tersebut dan menggagalkan empat lagi pukulan sudut penalti yang diperolehi Australia selepas itu.

Anak buah Arul Selvaraj cuba merapatkan jaringan melalui percubaan demi percubaan namun pertahanan Australia cekap menghalang pemain berpengalaman Muhammad Shahril Saabah daripada membuat hantaran bola kepada rakan-rakannya.

Sementara itu dalam perlawanan pembukaan kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun sebelum itu, Great Britain membelasah Pakistan 5-0 dengan pemainnya Luke Taylor menjaringkan hatrik yang pertama pada kejohanan tersebut.

Gol dijaringkan Taylor pada minit ke 12, 14 dan 25, manakala dua lagi gol oleh Benjamin Boon dan David Goodfield masing-masing pada minit ke-40 dan 45.

India pula menang 2-1 ke atas New Zealand dengan jaringan gol oleh Parvinder Singh dan Varun Kumar masing-masing pada minit kelima dan 43.

Gol New Zealand dijaringkan oleh Nic Woods pada minit ke-53.
Hoki PIala Sultan Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain