> Sebaik tamat GP Rusia pasukan Mercedes muncul juara dunia > Lewis Hamilton memenangi Grand Prix Rusia diikuti oleh rakan sepasukan Nico Rosberg > Mercedes memenangi kejuaraan yang pertama sejak sekian lama dikuasai Red Bull-Infiniti PENDAHULU Formula 1 musim ini, Lewis Hamilton berkata dia kini berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang berjaya muncul sebagai juara apatah lagi ia adalah yang pertama untuk Mercedes sebagai penyedia enjin. Pelumba berusia 29 tahun dari Britain itu memenangi GP Rusia yang berlangsung di Sochi dan kemudian diikuti oleh rakan sepasukan dan pesaing utama Nico Rosberg di tempat kedua. Kemenangan mereka berdua sudah memadai untuk membolehkan Mercedes merampas kejuaraan dunia dari tangan pasukan Red Bull. "Ini adalah saat yang bersejarah untuk pasukan kami dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah itu," kata Hamilton yang kini berlumba untuk musim kedua bersama pasukan tersebut. Kemenangan berganda Hamilton dan Mercedes lebih bermakna kerana GP Rusia ini adalah yang pertama kali dianjurkan oleh republik itu dalam sejarah F1. Ini adalah kemenangan kesembilan Hamilton musim ini dan meletakkannya 17 mata di hadapan Rosberg. Masih terdapat baki tiga perlumbaan lagi bagi kalendar musim ini iaitu di Austin, Amerika Syarikat pada 2 November diikuti GP Brazil di Sao Paolo pada 9 November dan yang terakhir dan penutup musim, GP Abu Dhabi di Yas Marina pada 23 November. Ini bermakna secara matematik, Rosberg masih berpeluang menyaingi Hamilton untuk gelaran juara pemandu dunia menerusi tiga baki perlumbaan lagi. Juara musim lalu, Sebastian Vettel berada di kedudukan kelima senarai pungutan mata pemandu dengan hanya 143 mata. KEJUARAAN PEMBUAT ENJIN/PASUKAN F1: 1. Mercedes 565 mata - (muncul juara dunia selepas GP Rusia) 2. Red Bull 342 3. Williams 216 4. Ferrari 188 5. McLaren 143 6. Force India 123 7. Toro Rosso 29 8. Lotus 8 9. Marussia 2 10/11 Sauber/Caterham 0 SEJARAH KEJUARAAN PEMBUAT ENJIN/PASUKAN F1: 2014 - Mercedes 2013 - Red Bull 2012 - Red Bull 2011 - Red Bull 2010 - Red Bull 2009 - Brawn GP 2008 - Ferrari 2007 - Ferrari 2006 - Renault 2005 - Renault KEDUDUKAN PEMANDU SELEPAS 16 DARIPADA 19 PUSINGAN MUSIM INI: 1. Lewis Hamilton (Mercedes, GB) 291 mata 2. Nico Rosberg (Mercedes, Jer) 274 3. D Ricciardo (Red Bull, Aus) 199 4. V Bottas (Williams, Fin) 145 5. S Vettel (Red Bull, Jer) 143 6. F Alonso (Ferrari, Sp) 141 7. J Button (McLaren, GB) 94 8. N Hulkenberg (Force India, Jer) 76 9. F Massa (Williams, Brz) 71 10.K Magnussen (McLaren, Den) 49