Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Ab Jalil Abdullah berkata ini kerana, semua 135 atlet paralimpik telah mengisytiharkan jenis ubat-ubatan mereka kepada pihak pengelola kejohanan itu di sini.
"Atlet paralimpik tidak perlu menjalani saringan doping namun semua jenis ubat yang diambil mereka harus dimaklumkan kepada pihak penganjur untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Mereka semua bersedia untuk bertanding dan kita akan cuba mengelak sebarang kemungkinan berlakunya penyalahgunaan ubat-ubatan dalam kalangan atlet kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas majlis menaikkan Jalur Gemilang di Perkampungan Sukan Para Asia di sini, Selasa.
Pada upacara itu, kontinjen Malaysia, Myanmar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) disambut Datuk Bandar Perkampungan Sukan Para Asia, Hwang Jeonbae.
Atlet Malaysia tiba di Incheon pada Isnin dan mula mengadakan latihan bermula Rabu.
"Saya dapati mereka bersemangat tinggi...atlet paralimpik negara sentiasa bersedia menghadapi lawan.
"Kebanyakan atlet kita berpengalaman, pernah menyertai kejohanan besar begini. Cuma ada beberapa sahaja yang pertama kali menyertai kejohanan besar namun ada di antara mereka merupakan prospek pingat buat negara," katanya.
Ab Jalil berkata pihak penganjur temasya itu juga menyediakan kemudahan seperti tempat tinggal dan dewan makan yang bersesuai untuk atlet paralimpik.