suria

PLBT Gabungkan Pelumba TSG Untuk Bimbing Pelumba Muda

Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan

KUALA TERENGGANU: Persatuan Lumba Basikal Terengganu(PLBT) akan meletakkan seorang pelumba daripada pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) untuk membimbing pelumba Sukan Malaysia (Sukma) negeri dalam siri kejohanan jemputan pada masa akan datang.

Ketua jurulatih PLBT, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata inisiatif itu mampu memberi impak yang besar dalam arena sukan berbasikal dengan mengabungkan muka lama dan muka baru.

Katanya menerusi perlumbaan jemputan, Tour di Siak di Indonesia, bulan lepas, pihaknya meletakkan Mohd Hariff Salleh untuk mengetuai barisan pelumba dan membuahkan  hasil yang memberangsangkan.

"Walaupun mereka diberi latihan namun dalam perlumbaan mereka masih kurang mahir, jadi kita letakkan seorang pelumba profesional untuk menjadi ketua untuk bimbing mereka sepanjang perlumbaan," katanya kepada Bernama pada Rabu.

"Selain itu ia juga mampu memberi rangsangan semangat kepada para pelumba muda untuk membantu pelumba profesional ini berada di kedudukan terbaik" katanya.

Menurutnya, kehadiran pelumba pasukan TSG juga mampu berkongsi pelbagai strategi dan teknik perlumbaan dan membantu pelumba muda ini untuk mencorakkan rentak sepanjang perlumbaan.

Jelasnya sejak kombinasi ini dilakukan prestasi pelumba muda semakin meningkat dan banyak perubahan yang dapat dilihat daripada mereka.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan barisan pelumba yang menggalas cabaran di Siak sehingga dua kali berjaya menaiki podium di tangga pertama dan membantu Hariff merebut jersi Hijau,"katanya.

Syed Mohd Hussaini berkata pihaknya akan terus menggunakan stategi seperti ini bagi memastikan sukan berbasikal di Terengganu berada di tahap yang membanggakan.

TSG, PLBT

Artikel Lain