SEORANG pemain bola sepak Liga Perdana Mizoram, India maut apabila gagal melakukan gaya balik kuang (somersault) dengan sempurna ketika ingin meraikan gol bersama rakan sepasukan. Peter Biaksangzuala, 23, disahkan meninggal dunia di hospital pada Ahad selepas dipercayai mengalami kecederaan serius di tengkuk apabila gagal merebahkan badan dengan baik semasa melakukan aksi balik kuang. Biaksangzuala melakukan aksi balik kuang selepas berjaya menghasilkan jaringan untuk kelabnya, Bethlehem Vengthlang FC pada minit ke-62 ketika menentang Chanmari West FC. Aksi akrobatik itu sering dilakukan oleh ramai pemain bola sepak khususnya penjaring gol Jerman pada Piala Dunia lalu, Miroslav Klose. Pemain tengah itu dilaporkan dirawat di hospital selama lima hari sebelum doktor bertindak menghentikan alat penafasan selepas tiada reaksi positif. Difahamkan Biaksangzuala telah menderma matanya kepada hospital berkenaan.