BARCELONA berjaya membuktikan kekuatan pasukan itu di gelanggang sendiri apabila mudah menewaskan Ajax 3-1 dalam saingan Liga Juara-juara Eropah di Nou Camp awal pagi Rabu. Dalam perlawanan tersebut, penyokong Barcelona tidak perlu menunggu lama untuk melihat pasukan kesayangan mereka mendahului lawan apabila Neymar berjaya menjaringkan gol seawal minit kelapan permainan. Gerakan Neymar ketika menghasilkan jaringan pertama Barcelona. Walaupun gol tersebut meningkatkan moral pemain tuan rumah, namun Ajax sebagai juara liga Belanda turut tidak henti memberi tekanan dan mencari jaringan penyamaan. Malangnya, gandingan Neymer dan Lionel Messi di bahagian serangan bagaikan sukar disekat apabila bintang Argentina itu berjaya menggandakan gol Barcelona pada minit ke-24. Kedudukan 2-0 yang berlarutan sehingga minit ke-87 memberi gambaran kepada penyokong bahawa mereka telah mendapat keputusan penuh perlawanan tersebut, apatah lagi kedua-dua penyerang utama Barcelona iaitu Neymar dan Messi telah dikeluarkan. Bagaimanapun, usaha tanpa henti Ajax akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan tunggal El Ghazi pada minit ke-88. Tidak berakhir di situ, Barcelona kembali mempamerkan taringnya apabila Sandro Ramirez yang dimasukkan sebagai pemain gantian menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-90. Sandro Ramirez meraikan jaringannya.