KARIER Mario Balotelli bersama Liverpool dicemari dengan insiden yang memalukan apabila pemain itu dilihat bertukar jersi dengan pemain Real Madrid, Pepe sebaik sahaja tamat permainan babak pertama. Selepas dimalukan Real pada separuh babak pertama dengan 3-0, tindakan Balotelli mengundang kemarahan pengurus Liverpool Brendan Rodgers. Tindakan Balotelli bertukar jersi dengan Pepe di terowong laluan ke bilik persalinan dirakam oleh kamera TV. Ketika dimaklumkan mengenai insiden itu oleh wartawan TV, Rodgers yang mengeluarkan penyerang itu kerana aksinya yang kurang menyerlah berkata, beliau tidak menyukai tindakan tersebut dan akan bersemuka dengan Balotelli. Rodgers turut pernah berdepan situasi sama membabitkan pertukaran jersi antara pemainnya, Mamadou Sakho dan penyerang Chelsea, Samuel Eto pada Disember lalu. "Saya terkejut mendengar berita ini tetapi jika terbukti ia benar saya tidak menyukainya. Saya tidak mahu melihat perkara itu. Ia pernah berlaku di liga lain dan beberapa negara lain tetapi ia tidak boleh berlaku di sini dan sepatutnya tidak berlaku. "Bagi saya, jika anda mahu melakukannya, anda seharusnya berbuat demikian ketika tamat perlawanan. Kami pernah melalui insiden sama pada tahun lalu di sini dengan seorang pemain kelab ini dan ia telah diselesaikan," katanya. Rodgers turut kecewa dengan corak permainan Balotelli yang dilihat gagal memberikan sebarang impak dalam enam perlawanan bersama Liverpool sejak menyertai kelab itu dengan nilai perpindahan sebanyak 16 juta pound (RM83.8 juta ) dari AC Milan.