suria

MotoGP: Aksi Sulung Pasukan SIC Pada Kejuaraan Dunia 2015

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (tiga, kanan) bersama Pengerusi Litar Sepang, Tan Sri Mokhzani Mahathir (dua, kanan) dan pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin (kanan) pada Majlis Pengumuman Pasukan Pelumba Litar Sepang pada Khamis.

SEPANG: Sukan permotoran tanah air melakar sejarah buat kali pertama apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) secara rasminya mendaftar pasukan sendiri untuk bersaing dalam perlumbaan Kejuaraan Dunia MotoGP bagi kategori Moto3.

Jika sebelum ini SIC hanya bertindak sebagai penganjur, penaja atau penjaga kepada pelumba-pelumba negara yang beraksi dengan pasukan luar negara, tetapi kini peminat-peminat sukan pemotoran tanah air seharusnya berbangga dengan pencapaian ini.

Selepas beberapa tahun mengutip pengalaman dengan pasukan terkenal dunia, kini hero MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin dilantik sebagai pelumba tempatan pertama menyertai pasukan SIC ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, sudah tiba masanya SIC mempunyai pasukan sendiri selepas menyaksikan perkembangan positif sukan permotoran tanah air yang berkembang pesat sejak 2010.

"Perubahan ini membuktikan kita sudah naik ke fasa yang lebih baik dalam pelaburan kita dalam sukan pemotoran.

"Dengan penyertaan ini ia sekaligus akan membawa jenama kita sendiri terhadap pelan pembangunan, pengurusan pasukan, pembangunan bakat muda jangka panjang, penajaan dan pengurusan jenama," jelasnya pada majlis '2nd Southeast Asia Motorcycle Business Forum' sempena Pelumbaan Kejuaraan Dunia MotoGP Shell yang berlangsung minggu ini di Sepang.

Menurut Razlan, pemilihan Zulfahmi sebagai pelumba pertama pasukan baharu ini memang bertetapan kerana dia masih lagi pelumba terpantas Moto3 di Asia Tenggara.

"Kami percaya amat penting untuk memulakan pasukan dengan adanya pelumba yang berpengalaman.

"Sudah tentu penyertaan pasukan ini bukan sekadar berlumba sahaja, tetapi kami menyasarkan untuk mempamerkan aksi kompetitif pada tahun pertama penyertaan.

"Kami mahu berada dalam kelompok sepuluh terbaik pada tahun 2015, sekiranya tidak mampu dalam kelompok lima terbaik," jelas Razlan.

Dalam pada itu, Zulfahmi yang kini beraksi dengan pasukan Ongetta-AirAsia akan bersaing menunggang jentera KTM Moto3 250 GPR pada aksi pertama di Qatar musim depan.

Pelumba kelahiran Banting ini teruja dengan pengumuman baharu ini, namun tetap memberi fokus bagi perlumbaan minggu ini.

Prestasi Zulfahmi kurang konsisten sepanjang musim ini apabila hanya menduduki tangga ke-19 daripada 30 pelumba dengan mengutip 19 mata.

pasukan SIC, Zulfahmi, Razlan Razali

Artikel Lain