PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh, memberi amaran kepada anak buahnya supaya mengekalkan prestasi atau bakal digantikan dengan pemain baharu. Justeru itu, pengendali kelahiran Melaka itu mengingatkan pemain yang dipanggil menjalani sesi latihan pusat skuad kebangsaan bermula hari ini, supaya menggunakan peluang itu sebaik mungkin. "Macam kes Mohd Farhan Roslan dari Kedah yang dipanggil menggantikan pemain Pahang, Mohd Fauzi Rozlan...pertukaran ini normal kerana saya akan menguji setiap pemain. "Sekarang agak sukar memilih senarai akhir 22 pemain ke Kejohanan Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean) Suzuki di Singapura pada November ini kerana semua pemain yang dipanggil cukup konsisten," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Isnin. Dua daripada senarai awal 25 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat iaitu Mohd Farhan dan Mohd Badhri Mohd Radzi dari Kelantan, tidak hadir hari ini dan akan melapor diri esok. Dollah berkata Johor Baharu dipilih sebagai lokasi kem motivasi skuad Harimau Malaya selepas mereka bersetuju menerima tawaran Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersedia menanggung segala kos terlibat. "Setakat ini, kita tidak akan menyertai sebarang perlawanan persahabatan sepanjang seminggu berada di sana bermula 3 Nov ini tetapi saya akan memastikan pemain kekal cergas," katanya. Dalam pada itu, Dollah tidak berganjak dengan keputusan asalnya bahawa skuad Harimau Malaya sepatutnya beraksi di padang rumput normal dan bukannya padang tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura yang bakal memberi kelebihan kepada tuan rumah pada kejohanan berkenaan. Menurutnya berdasarkan perancangan awal Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), skuad negara dijangka beraksi dalam dua aksi awal peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di Stadium Jalan Besar sebelum beraksi di Stadium Nasional Singapura pada perlawanan ketiga. "Saya sudah berbincang dengan (Setiausaha Agung FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut bersetuju pasukan kita sepatutnya beraksi di padang rumput normal. Kita sudah membuat bantahan kepada AFF yang dijangka membuat keputusan dalam tempoh terdekat," katanya. FAM telah mengatur dua aksi pemanas badan skuad Harimau Malaya sebelum menyertai Piala AFF Suzuki iaitu berdepan Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Nov, serta pertemuan dengan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, beberapa hari kemudian. Skuad Harimau Malaya berdepan laluan sukar pada Piala AFF Suzuki 2014 yang berlangsung dari 22 Nov hingga 20 Dis selepas diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Singapura, juara tiga kali Thailand dan pemenang pusingan kelayakan, Myanmar. Kumpulan A pula terdiri daripada Vietnam, Filipina, Indonesia dan Laos.