KUALA LUMPUR: Selepas memenangi kejohanan utama Jelajah Persatuan Golf Profesional (PGA), FedExCup, bulan lepas, Billy Horschel menetapkan sasaran untuk meraih gelaran pada CIMB Classic bermula Khamis ini. "Saya gembira kembali ke sini dan berharap satu lagi pencapaian hebat tahun ini. Mudah-mudahan saya dapat meraih gelaran pada kejohanan kali ini. "Saya mahu menikmati satu lagi pencapaian hebat pada akhir musim dan pada masa sama, saya tidak mahu menoleh ke belakang. Saya sentiasa memikirkan tahap seterusnya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC). KLGCC akan menjadi gelanggang edisi kelima kejohanan golf CIMB Classic yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan berjumlah keseluruhan kira-kira RM22.9juta. Pada penampilan sulungnya di kejohanan berkenaan tahun lepas, Horschel menamatkan saingan pada kedudukan ke-11 bersama. "Saya amat gembira jika dapat memenangi kesemua empat gelaran utama sebelum bersara. Untuk jangka pendek, matlamat saya untuk meraih gelaran utama musim inidan mempertahan kejuaraan FedExCup. "Saya akan berusaha ke arah itu kerana belum ada pemain yang telah melakukannya. Saya seorang pemain yang sentiasa mahu menjadi terbaik," kata pemain dari Amerika Syarikat berusia 27 tahun itu. CIMB Classic 2014 akan menampilkan 78 pemain termasuk 60 pemain Jelajah PGA,10 pemain Jelajah Asia serta lapan pemain penaja. Sementara itu, pendahulu terkini Order of Merit Jelajah Asia dari AmerikaSyarikat, David Lipsky mempunyai matlamatnya sendiri iaitu mengekalkan kedudukan pada Jelajah Asia dengan menampilkan prestasi terbaik pada CIMB Classic. Lipsky mendahului kedudukan Order of Merit Jelajah Asia, mengatasi pemaindari India, Anirban Lahiri pada saingan kejohanan itu, yang menawarkan hadiah RM524,000 untuk muncul pemain nombor satu Asia yang baharu. "Saya mempunyai kelebihan cukup besar sekarang. Selagi saya bermain dengan baik pada baki kejohanan tahun ini dan melakukan apa yang sepatutnya, saya yakin untuk meraih gelaran itu. "Kita kadangkala berada di atas dan kadang kala di bawah. Kita tidak boleh menang setiap minggu tetapi saya bermain baik di sini pada kejohanan lepas dan saya mempunyai kenangan manis, jadi saya tidak sabar beraksi minggu ini," kata Lipsky.