suria

Cub Prix: YY Pang Beri Amaran Kepada Pelumba

YY Pang (kiri) memeriksa jentera pelumbanya, Ahmad Abdul Kadir.

PENGURUS Motul Yamaha YY Pang, Pang Yoke You memberi amaran kepada semua pelumbanya yang beraksi dalam kategori CP115 agar bersaing dengan lebih selamat khususnya pada saingan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Prestasi pelumba pasukan YY Pang pada musim ini cukup hebat apabila memenangi kesemua lapan pusingan yang telah berlangsung setakat ini namun insiden kemalangan membabitkan Zaidi Mohd Zaifaizal dan Tengku Amirul Haffirudin pada pusingan lepas di Kangar boleh dielakkan jika mereka lebih berhati-hati.

Meskipun kemenangan tetap menjadi milik pasukan apabila Mohd Izzat Zaidi Salehan berjaya menamatkan 15 pusingan perlumbaan sebagai juara sekaligus naik ke kedudukan teratas keseluruhan dengan mengumpul 153 mata manakala Zaidy jatuh ke tangga kedua dengan 139 mata dan Tengku Amirul ketiga dengan 113 mata, namun pengurus yang cukup berpengalaman itu tidak mahu insiden yang merugikan itu berulang kembali.

"Pelumba kami sangat kompetitif ketika ini. Ia merupakan perkara yang baik buat pasukan namun ada kalanya persaingan sengit sesama sendiri seperti ini akan merugikan pasukan sepertimana yang berlaku di Kangar. 

"Kami bukan menghalang mereka bersaing sesama sendiri kerana keputusan siapa menang kalah hanya ditentukan oleh mereka sendiri ketika di litar, cuma apabila dua pelumba dari satu pasukan yang sama terkeluar daripada perlumbaan serentak.

"Ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," jelas YY Pang.

"Kami seringkali mengingatkan mereka agar turut memberi keutamaan kepada pasukan, namun sebaik keluar ke litar, apa yang berada dalam fikiran adalah untuk memburu kemenangan individu. 

"Sebenarnya situasi ketika ini agak sukar memandangkan mereka sedang bersaing untuk memburu gelaran peribadi, dan pada masa sama keutamaan untuk merebut gelaran bagi pasukan juga perlu diberikan perhatian" jelasnya. 

Pang berkata, pasukannya perlu merancang strategi sebaik mungkin untuk cuba merebut semua gelaran sama ada individu mahupun pasukan.

"Insiden kemalangan di Kangar merupakan satu kesilapan mudah memandangkan kedua-duanya, Zaidy dan Tengku Amirul gagal memungut sebarang mata  dan ini merugikan mereka sendiri.

"Saya harap mereka dapat belajar daripada kesilapan tersebut. Mereka perlu bijak merancang strategi dan berlumba dengan lebih selamat untuk mengelak daripada sebarang kecederaan yang tidak sepatutnya berlaku.

"Malah kesilapan seperti itu juga boleh menyebabkan kehilangan mata berharga terutama ketika penghujung musim seperti ini."

Cub Prix, YY Pang

Artikel Lain