suria

Karim Ibrahim Presiden Baharu KOM

Karim Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Bekas timbalan presiden Datuk Karim Ibrahim dipilih sebagai presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi penggal 2014-2016 pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu di sini, Sabtu.

Dalam pertandingan satu lawan satu, Karim menewaskan penyandang timbalan presiden Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Karim memperoleh 33 undi manakala Wan Hisham menerima lapan undi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Shahidan Kassim, yang mengesahkan bertanding jawatan presiden, menarik diri pada saat-saat akhir pertandingan.

Beliau membuat panggilan telefon kepada dua pegawainya yang datang menghantar borang pencalonan pada mesyuarat yang berlangsung selama lima jam mulai pukul 10 pagi.

Sebanyak 41 perwakilan menghadiri mesyuarat tersebut.

Penyandang Presiden KOM ketika ini, Datuk Zainal Abidin Ahmad sebelum ini telah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya bagi memberi ruang kepada individu lain menerajui kesatuan itu.

Dalam pada itu, Datuk S.M. Muthu dipilih sebagai timbalan presiden selepas meraih 26 undi dengan mengalahkan pencabar tunggal Datuk R. Annamalai yang mendapat 15 undi.

Sementara itu, sebanyak 10 calon bertanding merebut empat jawatan naib presiden.

Empat calon yang berjaya ialah Datuk Noorul Ariffin Abd Majeed (33 undi), Datuk Rosni Sohar (30), Iyaru Muthusamy dan Datuk Tham Siew Kai, masing-masing memperoleh 27 undi.

Jawatan yang dipertandingkan pada AGM KOM kali ini ialah presiden, timbalan presiden dan empat kerusi naib presiden.
 
Karim, yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perak, pernah memegang jawatan timbalan presiden selama lebih 10 tahun dengan kali terakhir adalah bagi penggal 2010-2012.
 
"Olahraga perlu terus maju, pemilihan ini bukan semata-mata nak merebut jawatan, fokus kita ialah melahirkan atlet berkaliber dan paling penting adalah program pembangunan," katanya kepada pemberita selepas memenangi jawatan nombor satu itu.
 
"Saya sama seperti presiden sebelum ini, kita akan meneruskan perancangan yang telah tersedia. Kerjasama bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan diperkukuhkan," katanya. Berikut adalah senarai kepimpinan KOM bagi penggal 2014-2016:

Presiden : Datuk Karim Ibrahim

Timbalan Presiden: Datuk S.M Muthu

Naib Presiden : Datuk Noorul Ariffin Abd Majeed, Datuk Rosni Sohar, Iyaru
Muthusamy, Datuk Tham Siew Kai.

KOM, Karim Ibrahim

Artikel Lain