ALEXIS Sanchez menjaringkan dua gol untuk memacu kemenangan Arsenal menewaskan Burnley 3-0 di Stadium Emirates, awal pagi Ahad. Sanchez menjaringkan gol pertama pada minit ke-70 sebelum melengkapkan gol kemenangan Arsenal pada minit kecederaan. Manakala Calum Chambers pula menjaringkan gol kedua Arsenal pada minit ke-72 untuk membantu pasukan tuan rumah selesa menguasai perlawanan. Kemenangan itu meletakkan Arsenal kembali menduduki kelompok empat pasukan teratas dalam carta liga. Arsenal ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea. Burnley pula masih tercari-cari kemenangan pertama untuk musim ini dan menduduki tangga tercorot liga. Sementara itu, dalam perlawanan berasingan, kesilapan penjaga gawang Hull Eldin Jakupovic memberi peluang kepada Southampton untuk mencatatkan kemenangan 1-0 di Stadium KC sekali gus melebarkan permulaan cemerlang mereka musim ini. Wanyama (kanan) meraikan jaringannya. Pemain tengah, Victor Wanyama menjaringkan gol tunggal seawal minit ketiga untuk Southampton. Southampton mempunyai beberapa percubaan dari jarak dekat menerusi Sadio Mane dan Graziano Pelle tetapi tersasar. Pasukan kendalian Ronald Koeman itu menduduki tangga kedua dengan kelebihan lima mata di depan Manchester City yang berada di tempat ketiga.