SELEPAS mendapatkan Danny Welbeck dari Manchester United baru-baru ini, Arsenal kini dilaporkan sedang mengintai seorang lagi pemain kelab itu untuk dibawa masuk menerusi tingkap pemindahan Januari. Arsene Wenger yang sedang bergelut dengan krisis pertahanan dikatakan mahu mendapatkan Chris Smalling sebagai jalan penyelesaian. Pengendali Arsenal itu kembali menyenaraikan Smalling sebagai pilihan utama selepas Pengurus United, Louis van Gaal dilaporkan sedia melepaskan pertahanan berkenaan. Wenger sebelum ini telah mengarahkan skuad pemilihan pemain untuk mendapatkan seorang pertahanan tengah bagi menggantikan Laurent Koscielny dan Mathieu Debuchy yang tidak dapat beraksi. Jurulatih itu juga mengakui tidak dapat menjangkakan bila pemain pertahanan itu dapat kembali membantu skuadnya. Selain itu, Arsenal juga dilaporkan memerlukan seorang pemain tengah pertahanan dan berikutan itu pemain muda Paris Saint Germain, Adrien Rabiot, 19, telah disenaraikan sebagai pilihan utama. Bagaimanapun, hasrat Arsenal berjaya dinafikan oleh PSG yang menawarkan kontrak baharu kepada pemain tengah terbabit. Sehubungan itu, pemain Southampton, Morgan Schneiderlin kini menjadi sasaran Arsenal pada tingkap pemindahan Januari nanti.