suria

FAM Sasar 12 Pengadil Separuh Profesional Menjelang 2016

Tengku Abdullah (kanan) bersama legenda pengadil antarabangsa,Roland Elleray.

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyasarkan untuk melahirkan antara 10 dan 12 pengadil separuh profesional menjelang 2016.

Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata badan induk itu akan berusaha melahirkan pengadil-pengadil yang memenuhi kriteria sebagai pengadil separuh profesional dalam tempoh tersebut.

"Dengan adanya pengadil separuh profesional ini, kita berharap untuk melahirkan beberapa pengadil profesional pada masa akan datang...saya tidak boleh kata bila tetapi saya sasar menjelang 2020.

"Bagi menjayakan hasrat ini, semua aspek termasuk program pertukaran pengadil ke negara-negara yang berjaya melahirkan pengadil peringkat dunia akan dijalankan. Dengan bantuan UEFA dan FIFA, saya harap usaha kita ini berjaya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pembangunan dan Projek Gemilang Pengadil, Ahad.

Untuk rekod, sehingga 2014, Malaysia mempunyai 176 pengadil bertauliah.

Tengku Abdullah berkata FAM akan terus mengadakan beberapa siri program bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pengadil di Malaysia dalam usaha memartabatkan profesion tersebut.

"Saya berharap mereka (pengadil) sedar apa yang diperlukan untuk menjadi pengadil yang baik pada masa depan. Kita akan terus adakan kursus semata-mata untuk tingkatkan mutu pengadilan.

"Saya mahu pengadil kita jadi pengadil yang berkualiti bukan hanya sekadar pengadil 'kampung'. Saya mahu mereka ke Piala Dunia, itu seharusnya menjadi penanda aras kita," katanya.

Tengku Abdullah juga menasihatkan agar tidak wujud gejala mengatur perlawanan atau 'bookie' dalam kalangan pengadil serta pemain.

Sementara itu, legenda pengadil antarabangsa, David Roland Elleray yang turut hadir pada program berkenaan, berkata tidak ada halangan bagi sesiapa pun untuk mencapai matlamat menjadi pengadil yang baik.

"Saya di sini untuk mengkaji struktur (pengadilan). Saya berharap saya dapat membawa pengalaman dan nasihat kepada pengadil di Malaysia.

"Selepas saya membuat pemantauan terutama dalam kalangan pengadil muda, mereka sangat terbuka untuk maju ke hadapan.

"Mereka sedia belajar dan berubah. Saya rasa struktur pengadilan Malaysia lebih mantap berbanding 2004 ketika saya pertama kali berkunjung ke sini,"katanya.

pengadil, fam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain