suria

Laluan Mudah Nicol Buru Gelaran Dunia Kali Kelapan

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mendapat laluan mudah untuk memburu gelaran dunia bagi kali kelapan pada Kejohanan Wanita Dunia di Kaherah, Mesir, bulan depan.

Dalam undian yang diadakan di Mesir pada Khamis, Nicol selaku pilihan utama, akan memulakan kempen dengan berdepan pemain daripada pusingan kelayakan.

Pada pusingan kedua, Nicol, yang juga pemain nombor satu dunia, akan berjumpa dengan pemenang antara pilihan ke-13 Jenny Duncalf dari England dan pemain pusingan kelayakan.

Menurut laman sesawang kejohanan, www.squashsite.co.uk, pemain nombor dua negara, Low Wee Wern, yang diletak sebagai pilihan ketujuh, akan menentang pemain Guyana, Nicolette Fernandes pada pusingan pertama.

Sekiranya berjaya melepasi pusingan pertama, Wee Wern, 24, akan berdepan dengan pemenang perlawanan antara Madeline Perry dari Ireland dan bintang muda India yang semakin meningkat, Joshana Chinappa pada pusingan kedua.

Bekas juara remaja dunia, Nour-El-Sherbini dari Mesir, yang menyingkirkan Nicol pada separuh akhir edisi tahun lepas di Pulau Pinang, akan membuka kempen dengan menentang rakan senegara, Nouran Gohar.

Sebagai rekod, Nicol telah berjaya merangkul kejuaraan dunia itu sebanyak tujuh kali iaitu pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Kejohanan dunia, dengan hadiah keseluruhan wang tunai US$150,000 tahun ini, akan berlangsung di Kelab Wadi Degla di Kaherah dari 15 hingga 20 Dis ini.


Skuasy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain