KUALA LUMPUR: Dua pemain negara, Muhd Asyraf Azan dan Ivan Yuen layak ke undian utama Kejohanan Skuasy Dunia Lelaki 2014 selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan di Doha, Qatar. Pada pusingan kelayakan lewat Khamis, Muhd Asyraf bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum mengalahkan pemain Pakistan, Muhammad Yousaf dengan 9-11, 11-5, 11-9 dan 11-7. Menurut laman sesawang kejohanan, www.squashsite.co.uk, pemain kelahiran Selangor berusia 26 tahun itu, bagaimanapun, akan berdepan laluan getir apabila bertemu pemain nombor satu dunia, Mohamed Elshorbagy dari Mesir pada pusingan pembukaan lewat Jumaat. Yuen pula melangkah ke pusingan pertama selepas menewaskan pemain Austria, Aqeel Rahman 10-12, 11-8, 11-7 dan 11-8 untuk bertemu dengan bekas juara dunia sebanyak dua kali, Ramy Ashour dari Mesir. Sementara itu, dua pemain utama negara, Ong Beng Hee dan Mohd Hafiizwan Adnan dijangka melepasi pusingan pembukaan selepas menerima undian mudah. Beng Hee akan memulakan cabaran dengan menentang pemain daripada pusingan kelayakan, Peter Creed dari Wales manakala Mohd Nafiizwan bertemu pemain Mesir, Mazen Hesham. Kejohanan edisi ke-36 itu menawarkan hadiah wang tunai US$325,000 (RM1,089 juta).