KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan menegaskan, peruntukan besar RM34 juta kepada Institut Sukan Negara (ISN) untuk Program Pengenalpastian Bakat Malaysia (MyTID) perlu dibuat dengan teliti agar mendapat hasil yang diharapkan. Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau secara peribadi telah memberi keyakinan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bahawa program ini penting untuk pembangunan sukan negara. "Saya yakin beliau faham objektif program bakat muda yang tidak akan berhasil dalam tempoh pendek dan seterusnya meluluskan permintaan KBS untuk menjalankan program ini. "Saya percaya program akan berjaya sekiranya ia dilakukan seperti yang dirancang. Malah apa yang penting setiap rekod ujian saringan itu perlu digunakan, bukan sekadar menjadi simpanan sahaja," jelasnya pada majlis pelancaran Sistem Pengurusan Data MyTID di ISN, Selasa. MyTID merupakan program pembangunan bakat sukan akar umbi yang melibatkan seluruh pelajar sekolah rendah. Program pencarian bakat ini menggabungkan dua program iaitu TID,ISN serta Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (Segak) oleh Kementerian Pendidikan. "Saya mahu pastikan peruntukan ini digunakan sebaik mungkin kerana tidak akan ada peluang kedua lagi. "Peruntukan program pencarian bakat yang diberikan kepada ISN sebelum ini hanya lebih kurang RM3 juta sahaja, tetapi berbeza untuk tahun depan. "Peruntukan ini bukan hanya untuk program ujian saringan, tetapi separuhnya adalah untuk pengendalian dan pengurusan. "Tahun depan 100,000 murid dari 1,500 sekolah akan membuat ujian saringan pada tahun pertama dan jangkaan 20 peratus akan dipilih ke peringkat seterusnya. "Manakala kita akan menambah pusat pembangunan bakat yang kini hanya terdapat 40 sahaja kepada 100 lebih dan seboleh-bolehnya di setiap daerah," katanya. Malah Khairy berkata, untuk melihat program ini berhasil sehingga pelajar yang disaring berjaya menjadi atlet, semua pihak perlu bekerjasama. "ISN, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan perlu merobohkan benteng (perbezaan pengurusan) antara satu sama lain dan memastikan bakat-bakat yang disaringkan itu berjaya masuk ke pusat pembangunan bakat sebelum mengenal pasti acara yang bersesuaian sebelum kepada pusat pelapis negara. "Walaupun program ini tertumpu kepada pelajar-pelajar yang berumur 7 hingga 9 tahun, namun ada acara-acara sukan yang kita boleh kenal pasti lebih awal, seperti acara akuatik atau gimnastik," tambahnya. Program Pengenalpastian Bakat Malaysia yang melibatkan pengujian, saringan dan pengkhususan bakat bersukan dalam kalangan pelajar sekolah menjadi salah satu agenda penting dalam peruntukan bajet sukan 2015 sebanyak RM103 juta yang diumumkan oleh Najib, baru-baru ini.