suria

Kita Tidak Akan Mengalah - Dollah Salleh

SINGAPURA: Senario pelawanan kedua negara menentang Thailand petang Rabu dijangka menarik apabila Harimau Malaya yang menampilkan barisan pemain berpengalaman akan berhadapan pemain muda negara jiran di utara tanah air itu.

Aksi perlawanan Kumpulan B Piala AFF Suzuki ini bakal berlangsung di Stadium Jalan Besar di sini.

Jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang yang membantu pasukan Bawah 23 untuk mencapai kejayaan cemerlang pada Sukan SEA lalu dan tempat ke empat pada Sukan Asia kini membentuk pasukan pemain muda berbakat.

Antara yang wajar diberi perhatian adalah pemain tengah, Chanathip Songkrasin yang juga dikenali sebagai 'Messi J', pemain kacukan, Charyl Chappuis dan penyerang, Adisak Kraisorn.

Pasukan itu memperoleh kemenangan 2-1 pada perlawanan pembukaan menentang Singapura pada Ahad.

Berbanding barisan pemain Malaysia yang majoritinya di kalangan senior seperti Mohd Shukor Adan, Mohd Amri Yahyah dan Mohd Afif Amiruddin.

Kehadiran mereka bagaimanapun membolehkan Malaysia bertahan tanpa jaringan dalam perlawanan menentang Myanmar, lebih-lebih lagi apabila bermain dengan 10 pemain berikutan kad merah yang diterima pemain tengah negara, Gary Steven Robbat.

Perbezaan agak ketara ini tentunya memberi tamparan hebat kepada barisan pemain yang kini dibawah kendalian jurulatih negara, Dollah Salleh.

"Pemain diminta memberi yang terbaik dan bermain seperti biasa. Memang diakui kehebatan pasukan Thailand, dengan aksi pantas terutama di bahagian serangan.

"Tentunya sukar tetapi kita tidak akan menyerah kalah.

"Saya berharap penyerang negara dapat bertindak dan mungkin juga selepas latihan yang dijalankan akan berlaku sesuatu yang positif untuk kita menjaringkan gol ketika menentang Thailand," katanya.

Dollah juga dijangka merombak barisan pemainnya dengan memasukkan pemain tengah, Mohd Shafiq Rahim bagi menggantikan Gary dan Mohd Safee Sali.

Dollah Salleh, AFF Suzuki, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain