suria

Thailand Mahu Kekal Momentum Kemenangan Berdepan Myanmar

Pemain Thailand meraikan kemenangan ketika menentang Malaysia 3-2 di Stadium Jalan Besar, Singapura, Rabu lalu.

SINGAPURA: Penolong Ketua Jurulatih Thailand, Kairung Threejagsang akan memastikan pasukannya mengekalkan momentum kemenangan apabila berdepan Myanmar dalam aksi akhir Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, esok.

Jurulatih berusia 41 tahun itu berkata, walaupun sudah layak ke separuh akhir pada kejohanan itu, beliau berharap anak buahnya akan menampilkan prestasi terbaik menentang Myanmar, yang dibimbing bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic.

"Walaupun sudah layak ke separuh akhir, kami akan menampilkan barisan terkuatberdepan Myanmar kerana ia penting bagi barisan pemain muda kami mendapat pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa," kata Kairung selepas mesyuarat pengurus pasukan, di sini, Jumaat.

"Kami masih dahagakan kemenangan dan saya berharap pemain akan memberi yang terbaik apabila berdepan Myanmar esok," kata bekas ketua jurulatih bawah 23 tahun Thailand itu.

Kairung menggesa anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Myanmar yang masih berpeluang layak ke separuh akhir pada edisi ke-10 kejohanan bola sepak berprestij di rantau Asia Tenggara itu.

Berkongsi pandangan sama dengan Kairung ialah pemain pertahanan pasukan 'Gajah Perang' itu, Adison Promrak yang berharap rakan sepasukan supaya tidak memberi laluan mudah kepada Myanmar yang boleh memberi ancaman kepada mereka.

"Walaupun kami sudah menempah tempat ke separuh akhir, saya berharap rakan sepasukan akan menampilkan prestasi cemerlang untuk rakyat Thailand yang sentiasa memberi sokongan kepada kami pada kejohanan ini," kata pemain kelab BEC Tero Sasana itu.

Sementara itu, Avramovic yang juga dikenali sebagai 'Raddy', berkata, pemainnya mampu memberi tentangan kepada Thailand, juara tiga kali kejohanan itu, dan optimis pasukannya mampu meloloskan diri ke peringkat separuh akhir.

Jurulatih berusia 64 tahun dari Serbia itu memuji semangat juang pemainnya untuk menjaringkan gol dalam dua perlawanan sebelum ini, menentang Malaysia dan Singapura.

"Pujian harus diberi kepada pemain yang tidak berputus asa dalam dua perlawanan sebelum ini, masih ada ruang untuk mereka memperbaiki corak permainan.

"Saya berpendapat ia akan mengambil masa dua, tiga tahun sebelum pasukan ini benar-benar mampu memberi saingan kepada pasukan seperti Thailand dan Vietnam yang menunjukkan perkembangan yang baik dalam bola sepak Asia Tenggara," kata Avramovic.

Thailand yang muncul juara pada 1996, 2000 dan 2002, sudah layak ke separuh akhir selepas menumpaskan Singapura 2-1 pada Ahad lepas, sebelum mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Malaysia dua hari lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain