PEMAIN kesayangan Louis van Gaal di Belanda ketika aksi Piala Dunia iaitu Robin van Persie akhirnya menerima amaran terakhir mengenai prestasinya yang kian merosot di Manchester United. Van Gaal mengakui kecewa dengan aksi Van Persie ketika skuadnya menang ke atas Arsenal apabila penyerang harapan itu hanya menyentuh bola sebanyak 13 kali. "Saya tidak rasa jumlah 13 kali itu banyak bagi seorang penyerang, kamu boleh kira kembali jumlah dia menyentuh bola. "Itulah sebabnya saya mengeluarkan Van Persie. Saya mempercayai setiap pemain, tetapi bila saya menukarnya pasti ada sesuatu yang tidak baik telah dilakukan pemain terbabit. "Saya telah berkata kepada mereka (pemain) supaya mendapatkan mata. Kamu perlu bersama-sama membantu pasukan mencari ruang. Pada saya, tidak penting siapa yang menjaringkan gol, asalkan pasukan mendapat jaringan," jelasnya. Selain aksi buruk itu, Van Persie kini bakal tertekan dengan penampilan Radamel Falcao yang telah pulih daripada kecederaan. Pemain kelahiran Belanda itu juga perlu bersaing dengan penyerang muda United, James Wilson untuk dipilih sebagai watak penting di bahagian serangan.