ROBIN VAN PERSIE mengakui lega setelah berjaya menghasilkan satu daripada tiga gol ketika menentang Hull City pada Sabtu. Dalam perlawanan di Old Trafford itu, anak didik Louis van Gaal berjaya menewaskan Hull 3-0 hasil jaringan Chris Smalling, Wayne Rooney dan Van Persie. "Saya gembira dapat menjaringkan gol. Secara jujurnya saya memang mahukan gol dalam perlawanan ini. "Kami bermain dengan baik, anda dapat melihatnya ketika kami menghantar bola. Setiap minggu kami bermain dengan lebih baik dan pantas. "Hari ini sepatutnya kami menang 4-0 atau 5-0, tetapi semuanya cukup baik. "Pengurus memberitahu, perlawanan kali ini adalah yang terbaik sejak awal musim dan saya juga berasa demikian," kata pemain kelahiran Belanda itu. Dalam perlawanan itu, dua pemain yang mengalami kecederaan iaitu Marcos Rojo dan Radamel Falcao kembali mempamerkan aksi mereka.