SOUTHAMPTON: Kemenangan 2 - 1 yang dicatatkan Manchester United ketika menentang Southampthon awal pagi Selasa membolehkan pasukan bimbingan Louis van Gaal melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris. Pemain kelahiran Belanda Robin Van Persie menjaringkan kedua-dua gol United dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium St Mary. Van Persie meletakkan pasukan pelawat dihadapan seawal minit ke-12 sementara gol kedua berjaya dijaringkan pada minit ke-71 hasil sepakan percuma yang diambil, Wayne Rooney. Gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Graziano Pelle pada minit ke-31. Dengan meraih tiga mata, United kini berada ditangga ketiga dihadapan Southampton dan West Ham. Pasukan kendalian Van Gaal itu bernasib baik apabila berjaya mendapat tiga mata penuh walaupun mereka mempamerkan aksi membosankan lebih-lebih lagi selepas kehilangan pemain tengah Chris Smalling akibat kecederaan kaki. United kini telah mencatatkan lima kemenangan, sekaligus meningkatkan kenyakinan mereka sebelum perlawanan penting menentang musuh tradisi mereka, Liverpool di laman sendiri, Ahad ini. "Kita sangat mudah kehilangan bola pada separuh masa pertama. Southampton berjaya menjaringkan gol apabila kita mudah kehilangan bola. "Bagaimanapun kita berjaya memperbaiki rentak permainan pada separuh masa kedua. Namun saya rasa Southampton bermain lebih baik daripada United, cuma kami lebih bernasib baik hari ini," kata Van Gaal kepada Sky Sports. Gol pembukaan United muncul selepas kapten Southampton, Jose Fonte menyepak lemah bola ke belakang kepada penjaga gol, Fraser Forster dan Van Persie yang menghidu peluang meluru sambil menanti Forster untuk melayangkan badan dan merembat melepasi celah kaki untuk bola menerjah gawang. Namun United tidak berupaya mencetuskan asakan untuk menambah gol sambil Southampton seperti tidak henti-henti mengasak bagi mencari gol penyamaan. Akhirnya gol penyamaan yang dicari muncul selepas Marouane Fellaini merangka umpanan di bahagian tengah dan Dusan Tadic mengatur serangan pantas. Dia mengumpan bola ke arah Shane Long di hujung kawasan pelawat yang kemudiannya menyepak hantaran tinggi. Usaha Tadic disekat Paddy McNair, tetapi bola singgah di kaki Pelle yang merembat dari jarak dekat.